“Saya lebih senang pendamkan sendiri daripada berkongsi dengan semua orang.”
PENYANYI Zamani Ibrahim mengakui masalah sakit tulang belakang bengkok yang dihidapinya semakin serius dan memerlukan rawatan rapi namun memilih untuk merahsiakannya kepada peminat.
Zamani, 47, yang juga penyanyi kumpulan Slam berkata, dia tidak mahu terlalu bercerita kepada peminat kerana tidak mahu mereka bimbangkan keadaannya.
“Saya sudah lama menderita penyakit ini tetapi saya lawan dengan makan ubat tahan sakit dibekalkan oleh doktor. Sakit ini semakin teruk dan sudah membawa ke perut.
“Saya pula lebih senang pendamkan sendiri daripada berkongsi dengan semua orang. Sepatutnya saya kena menjalani pembedahan tetapi saya enggan kerana faktor umur akan buat kesannya lebih teruk,” katanya kepada Harian Metro.
Berbalik kepada masalah penagihan dadah yang pernah membelenggunya, Zamani berkata, dia masih merujuk perkara berkaitan masalah ini kepada Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih).
“Saya tidak boleh halang masyarakat buat tanggapan begini. Benda ini saya tidak berani nak cakap sudah habis kerana rawatan perlu dibuat secara berterusan sehingga akhir hayat.
“Ia boleh berulang kepada sesiapa saja. Saya memang tidak berani berkata saya sudah sihat sepenuhnya,” katanya yang pernah menerima rawatan penagihan dadah di Pengasih pada 2015.
Sumber: Harian Metro
0 Comments