Minggu lepas, kita seronok membaca kisah inspirasi macam mana perjalanan Noh Hujan dan isteri dia Mizz Nina menempuh alam perkahwinan. Terkemudian dari situ, kita dapat baca pula pengalaman Fynn Jamal bertemu dengan suami dia, Tri.
Kelmarin, kita dihidangkan pula dengan cerita seorang ayah kena pukul dengan suami baru bekas isterinya (bawa geng) masa dia ambil anak untuk penuhi giliran penjagaan. Cerita bersambung dengan kes polis dan screenshot perbualan mangsa dengan bekas isteri yang memaki hamun sumpah seranah si anak sebab mengadu ke ayahnya kelaku mak dan ayah baru.
Hari ni, satu video durasi pendek menayangkan seorang ibu (bekas isteri SM Faisal) terduduk di lantai bangunan mahkamah memeluk erat anak lelakinya yang mendapat arahan untuk dijaga oleh pihak ayah.
Seolah-olah ini adalah drama versi Facebook yang hendak mengajar kita semua bahawa permulaan perkahwinan yang indah indah bukan jaminan untuk sebuah pengakhiran yang indah indah juga.
Watak dan peranan dalam flownya berbeza, tapi bila kita sambung ceritanya akan membentuk satu kisah manis pahit sebuah kehidupan manusia.
17 tahun lepas, tahun 1999, ustaz Rahimi bawa budak kelas aku 5 Ibnu Sina pergi melawat Mahkamah Rendah Syariah Manjung. Lawatan ni sempena subjek Pendidikan Islam yang dah masuk bab perundangan nikah kahwin cerai.
Kami masuk bilik mahkamah dan ikut semua prosiding sesi pagi. Ya Tuhan masa tu aku belajar suatu hal penting, yang rupanya ada terlalu lah banyak dan bermacam ragam masalah rumah tangga yang wujud di bumi Malaysia ni.
Satu demi satu suami, atau isteri bagi keterangan dan buka semua cerita dari nafkah tak dapat, suami taik judi, isteri curang, isteri ada jantan lain, rebut hak penjagaan anak, laki malas kerja duit tak ada, isteri nusyuz dan paling real, isteri kecewa suami lebih mengutamakan ayam sabung berbanding isteri.
Statement bini dia tu memang aku tak akan lupa;
“Yang Arif bayangkan lah, saya ni isteri dia, tapi saya terpaksa berebut kasih sayang dengan seekor ayam?. Di mana darjat dan maruah saya Yang Arif? Kalau berebut kasih sayang dengan perempuan lain saya boleh terima lagi, ini ayam sabung Yang Arif! Ayam!”
Punya menangis bukan main perempuan muda tu.
Aku dan Meor Saiful Niza masih dok ketawa tak habis dengar cerita berebut kasih sayang dengan ayam sabung, sampai lah ke satu pasangan ni kena panggil untuk lafaz talak depan hakim.
Sorang lelaki bersongkok masuk kandang bicara, lepas hakim cakap lebih kurang dan dia balas ‘faham!’. Di sebelah hujung sana isteri dia.
Sebentar kemudian, lelaki bersongkok melafazkan cerai talak satu dengan sekali lafaz. Isteri dia menangis, dan paling aku terkejut muka Meor pucat, terkedu.
Perlahan Meor bisik ke aku;
“Pidomat, aku kenal dia ni. 3 tahun lepas aku ada di masjid masa dia lafaz akad nikah, hari ni aku ada pulak di mahkamah tengok dia lafaz cerai. Kahwin pun aku saksi, cerai pun aku saksi. Fuhh dasyat dunia ni”
0 Comments