Ticker

6/recent/ticker-posts

MBSJ roboh gerai, ibu tunggal dan warga emas hilang sumber rezeki

 


 “Tolonglah, mana kami nak cari rezeki kerana ini sahaja mata pencarian kami sejak 20 tahun lalu.”

Begitu kata peniaga, Khadijah Che Lah, 62, antara 43 peniaga di Bulatan Puchong Permai, di sini, yang terjejas selepas gerai mereka akan dirobohkan Majlis Bandaraya Subang Jaya, hari ini.


Khadijah berkata, dia bersama rakan peniaga lain tidak mempunyai sumber rezeki lain jika gerai mereka dirobohkan.


“Saya merayu, bantulah kami. Kebanyakan (peniaga) di sini adalah ibu tunggal yang hanya bergantung harap dengan berniaga.


“Kami akan mengikut cadangan MBSJ untuk berpindah, tetapi biarlah tempat yang disediakan itu lebih strategik,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.


Peniaga lain, Nor Azadila Alias, 38, berkata cadangan MBSJ supaya peniaga dapat berniaga secara bergilir-gilir tiga syif hanya membebankan mereka.


Katanya, lot gerai baru seperti kiosk itu juga lebih kecil dan tidak sesuai untuk berniaga dan berharap mereka mempertimbangkan semula arahan terbabit demi kebaikan semua pihak.


Sementara itu, suasana kecoh ketika anggota penguat kuasa MBSJ memulakan kerja-kerja merobohkan gerai di kawasan berkenaan termasuk ada peniaga menangis meminta ihsan selain meminta masa untuk meroboh premis mereka.


Bagaimanapun, operasi meroboh gerai terbabit dihentikan selepas perbincangan diadakan antara Persatuan Usahawan Primawalk Puchong (Puspep) dan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas).



Dalam pada itu, Pengerusi Puspep Datuk Ismail Awang berkata, semua peniaga kawasan terbabit diberikan tempoh sehingga tujuh hari untuk merobohkan sendiri gerai masing-masing.


Katanya, Puspep juga akan merayu kepada MBSJ dan Menteri Besar Selangor Datuk Amirudin Shariuntuk terus mengekalkan kawasan perniagaan di situ.


“Kita minta supaya pihak berwajib mendengar keluh-kesah peniaga yang mencari rezeki di situ sejak dulu,” katanya.


Sumber : cempedakcheese

Post a Comment

0 Comments