Ticker

6/recent/ticker-posts

Jika Betul Saya Rempit, Sundal Dan Perampas, Mana Buktinya?, Tanya Wafariena

 


Beberapa hari yang lalu heboh di media sosial apabila seorang wanita yang mendakwa pernah menjadi kekasih kepada Syazuwan Hassan selama 11 tahun berakhir apabila bekas teman lelakinya itu berlaku curang.


Menurut wanita yang menggunakan nama Adora itu mendakwa Syazuwan berpisah dengannya selepas menjalinkan hubungan dengan pelakon, Wafariena Roslan.

Enggan melatah biarpun digelar dengan pelbagai gelaran kurang enak, Wafariena sebaliknya berterima kasih kepada Adora kerana membantu menghangatkan semula namanya.


Tidak goyah dengan pendedahan Adora, Wafariena berkata, dia berada dalam landasan betul, jadi tiada apa yang perlu ditakutkan.


Malah, katanya, tidak sedikit pun hatinya risau imej dan nama baik yang dibina tercalar kerana segala tuduhan dilemparkan bekas kekasih Syazuwan itu tidak berasas sama sekali.


"Saya hanya mampu tertawa tatkala membaca pendedahannya dalam laman sosial. Apa yang membuatkan saya keliru, wanita itu menyatakan Syazuwan adalah bekas kekasihnya. Ini bermakna hubungan mereka sudah berakhir, jadi kenapa perlu melatah?


"Mungkin ketika membuat pendedahan, wanita itu sedang dirundung masalah. Jadi, dia cuba mencari seseorang untuk melampiaskan kemarahannya.


"Jujurnya, antara saya dan Syazuwan, tiada hubungan istimewa, sebaliknya kami rapat sebagai rakan dalam industri," katanya kepada BH Online.


Bak kata pepatah Melayu, jika tiada angin, masakan pokok bergoyang. Menjelaskan perkara itu, Wafariena berkata, hubungan akrab di lokasi penggambaran bagi menghidupkan watak dalam drama Baby Tak Gila mungkin menyebabkan Adora tersalah sangka mereka menjalin hubungan secara senyap.


Wafariena mempersoalkan, seandainya benar dirinya berniat tidak baik dan mahu menjadi perampas, kenapa Adora tidak bersemuka dengannya? Kenapa memilih medium media sosial untuk meluahkan segala yang terbuku di hati hingga tergamak memanggilnya dengan gelaran kurang enak.


Andai gelaran tidak enak yang dilemparkan itu benar, Wafariena memohon Adora mengemukakan bukti.


"Saya agak terkilan apabila Adora memberikan gelaran kurang enak kepada saya. Jika betul, saya rempit, sundal dan perampas seperti didakwa, mana buktinya?


"Wanita itu sendiri mengakui lega hubungan dengan Syazuwan sudah berakhir, jadi kenapa tidak 'move on', sebaliknya menuding kesalahan kepada saya. Sedangkan, saya tidak pernah kenal siapa Adora.


"Sejujurnya, saya tidak takut dengan pendedahannya. Selagi tidak buat salah, kenapa saya perlu takut? Cuma, mulut netizen tidak boleh ditutup. Jika betul saya mengganggu hubungannya dengan Syazuwan, kenapa tidak bersemuka atau paling tidak, menghantar mesej bertanyakan perkara yang sebenar?," katanya.


Gadis kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang itu berkata, dia langsung tidak menerima mesej Adora.


"Jika Adora menghantar mesej, kemudiannya saya membalas dengan kata-kata yang menyakitkan hatinya, mungkin logik jika nak meroyan.


"Bagaimanapun, satu mesej pun tidak pernah saya terima, secara tiba-tiba Adora membuat pendedahan berkenaan. Dia seolah-olah sengaja mahu memanaskan keadaan atau mungkin ingin meraih simpati," kata Wafariena.


Ujar gadis yang fasih berbahasa Mandarin itu, mungkin Adora tidak berada dalam industri menyebabkannya tidak faham keakraban hero dan heroin drama yang semata-mata mahu menghidupkan watak.


"Saya bukan hanya rapat dengan Syazuwan, ramai juga pelakon lain yang saya baik. Bukan Syazuwan sahaja pernah menjadi kekasih saya dalam drama, tetapi ramai lagi pelakon lain. Salah seorangnya, Azhan Rani sehingga penonton menyangka kami benar-benar bercinta.


"Saya bangga penonton menyangka saya dan Azhan bercinta kerana ia bermakna lakonan kami menjadi. Jadi, rasanya Adora tidak perlu melatah kerana keakraban saya dan bekas kekasihnya itu hanya untuk menghidupkan lakonan sahaja," katanya.


Ditanya adakah menghubungi Syazuwan untuk berbincang mengenai pendedahan dibuat bekas kekasihnya itu, Wafariena berkata, ia tidak perlu memandangkan mereka tiada sebarang hubungan.


"Seperti dikatakan, saya dan Syazuwan tidak mempunyai apa-apa hubungan. Saya tidak bersalah, jadi untuk apa saya menghubunginya? Selepas penggambaran drama Baby Tak Gila selesai, kami tidak pernah berhubung.


"Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada Adora menaikkan semula watak Nurul Ain yang kian dilupakan. Adora ada menyatakan saya sesuai membawakan watak perampas kerana sikap saya seperti Nurul Ain.


"Biarlah, dia boleh menuduh apa sahaja. Saya sudah terbiasa dilemparkan dengan perkataan kesat gara-gara Nurul Ain. Sehingga hari ini, saya masih menerima banyak mesej peminat yang begitu membencikan Nurul Ain. Jadi, saya sudah lali menerimanya,"

Sumber : Berita Harian

Post a Comment

0 Comments