Drama Cukup Derlta Itu terpaksa dihentikan tayangan di slot Samarinda TV3 berikutan terdapat babak tidak sempat dirakam akibat pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) bermula 1 Jun lalu.
Penerbit yang juga penulis skripnya, Siti Rosmizah berkata, pihaknya tidak sempat menyiapkan baki penggambaran dari episod 21 hingga 40 memandangkan penggambaran yang bermula Disember tahun lalu beberapa kali dihentikan.
Siti Rosmizah berkata, penggambaran pernah tertangguh selama 10 hari apabila salah seorang kru produksi positif Covld-19.
Bagaimanapun, ia kemudian dihentikan lagi apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
"Tayangan drama ini terpaksa dihentikan di episod 20 kerana kami tak dapat nak menghabiskan penggambaran disebabkan PKP.
"Ikutkan ada baki beberapa babak saja belum sempat dihabiskan, tapi ia tidak dapat dilakukan kerana ketika aktiviti penggambaran tidak dibenarkan. Kami memerlukan kira-kira 26 hari untuk habiskan penggambaran," katanya.
Sebelum ini, Siti Rosmizah mengumumkan drama arahan Along Kamaludin itu terpaksa dihentikan setakat 20 episod disebabkan penggambaran tidak sempat dihabiskan.
Rata-rata peminat drama ini meluahkan rasa sedih di media sosial memandangkan episod terakhir meninggalkan banyak tanda tanya.
Menurut Siti Rosmizah, dia kecewa apabila karyanya itu terpaksa dihentikan sementara dan berharap penonton terus bersabar.
"Ramai penonton menghantar mesej peribadi di Instagram bertanyakan mengenai penangguhan drama ini. Sejujurnya memang rasa sedih dan kecewa sebab terpaksa dihentikan. Namun, kita kena fikir nyawa dan keselamatan semua orang.
"Sebagai penerbit dan penulis karya, memang saya agak kecewa. Tapi kena fikir positif dan paling penting nyawa serta kesihatan semua orang. Insya-Allah sebaik sahaja dibenarkan, kami akan terus jalankan penggambaran. Saya boleh beri jaminan, kesinambungan drama itu akan lebih beri impak dan menarik," katanya.
Drama Cukup Derlta Itu dibintangi Hisyam Hamid, Ruhainies, Chacha Maembong dan Farhan Asri.
Drama bersiri 40 episod itu mula ditayangkan di slot Samarinda TV3 sejak 6 Mei lalu.
Sumber : Harian Metro
0 Comments