Sudah lama tidak mendengar lagu baru dari anak lelaki perdana menteri ke-9 iaitu Dafi Ismail Sabri. Empat tahun Dafi tidak membuat sebarang kemunculan menerusi karyanya sebagai penyanyi.
Bagi penyanyi dan pelakon, Dafi Ismail Sabri, tempoh empat tahun 'berehat' itu membuahkan rasa rindu buatnya untuk kembali beraksi dalam arena muzik tanah air.
Kini, Dafi yang dalam proses untuk mengeluarkan buah tangan terbaharu mencari waktu yang tepat untuknya.
"Sudah lama juga saya tak aktif dalam muzik. Single terakhir saya adalah Girl yang dilancarkan empat tahun lalu. Jadi, bila agak lama tak aktif, itu sedikit sebanyak membuatkan rasa bahawa saya perlu lakukan persediaan sewajarnya," kata anak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini.
Menurut pelakon filem Ada Hantu ini, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu sedikit sebanyak membantutkan niatnya untuk melancarkan lagu baharu.
"Sebenarnya, saya pun dalam proses untuk keluarkan lagu baharu, tapi disebabkan PKP dan tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN), saya tak dapat nak keluarkan lagi buat masa sekarang.
"Disebabkan sudah lama tak keluarkan lagu, saya rasa kena buat betul-betul dan berikan komitmen 100 peratus untuk mendapatkan hasil yang terbaik," katanya.
Daripada bergelar penyanyi, Dafi juga aktif sebagai pelakon dan terbaharu dia muncul dalam filem Ada Hantu.
Filem yang kini ditayangkan di saluran Disney+Hotstar adalah arahan Hairul Azreen yang juga pelakon dan diterbitkan Adrian Teh.
"Mereka juga kenalan saya. Sebelum ini mereka bergabung menghasilkan filem Paskal dan Wira. Saya memang berhasrat untuk bekerja dengan mereka. Bila ditawarkan untuk berlakon dalam filem ini, saya rasa ini adalah peluang yang tak patut saya lepaskan," katanya.
Menurutnya, walaupun wataknya tidak besar, tetapi ia adalah satu pengalaman menyeronokkan buatnya.
"Paling seronok adalah apabila melihat dan membaca kritikan positif daripada ramai penonton. Memang rasa seperti hasil kerja keras kami semua berbaloi," katanya.
Sumber : Harian Metro
0 Comments