Memandu kenderaan, lebih-lebih lagi untuk perjalanan jauh memerlukan rehat yang cukup, selain konsentrasi yang penuh terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.
Selain itu, pastinya ramai yang diluar sana sering memandu menggunakan selipar atau lebih selesa berkaki ayam semasa memandu, lebih-lebih lagi jika tersangkut dalam kesesakan lalu lintas kerana kaki terlampau lenguh memakai kasut dan sebagainya.
Baru-baru ini, tular sebuah video pendek di laman sosial yang direkod di Pulau Pinang dan menunjukkan seorang pegawai polis trafik telah bertanyakan sama ada pemandu tersebut mengenakan selipar atau kasut.
Difahamkan, sekiranya didapati bersalah mengenakan selipar semasa memandu, anda boleh dikenakan saman sebanyak RM150. Persoalan yang timbul dalam kalangan warganet semestinya betul atau tidak tentang perkara yang disebutkan itu.
Bagi mengelakkan kekeliruan, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini tampil memberikan penjelasan terhadap undang-undang dan akta tersebut.
“Adalah suatu kesalahan untuk pemandu kenderaan perkhidmatan awam (PSV) seperti teksi, bas, lori dan e-hailing untuk memandu tanpa mengenakan kasut”
Menurut jurucakap JPJ, sekiranya pemandu PSV ini melanggar perkara tersebut, mereka ini boleh dikenakan saman sebanyak RM150 bukan sahaja kerana tidak memakai kasut, tetapi turut boleh disaman sekiranya tidak mengenakan pakaian yang kemas.
0 Comments