"Saya belum diberi peluang mimpikan arwah, " kata pelawak dan pelakon popular, Shuib yang tidak putus berdoa supaya isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah hadir ke dalam mimpinya.
Shuib berkata, memasuki hari kelima pemergian Siti Sarah, hanya anak ketiganya, Ariq Matin, 6, yang berpeluang bermimpikan Allahyarham ibunya.
"Ketika sedang mandikan Matin (semalam), tiba-tiba dia berkongsi malam tadi dia mimpikan ibunya. Dia beritahu dalam mimpi itu ibunya datang membawa adik bongsunya, Ayash Affan dan arwah beri dia pegang adiknya. Tapi arwah hanya diam saja dalam mimpi itu," katanya pada majlis tahlil dan bacaan Yassin secara virtual malam tadi.
Menurut Shuib, sebaik mendengar cerita Matin, dia meminta anak ketiganya itu mendoakan agar dia turut berpeluang merasai nikmat sama.
"Saya beritahu Matin kalau dia mimpi ibunya lagi, tolong beritahu supaya masuk ke dalam mimpi daddy. "Saya rindu sangat nak jumpa dia. Saya reda dan sangat berlapang dada dengan ketentuan ini. Cuma rindu yang masih bertandang dan saya percaya waktu akan menjadi ubat.
"Setiap kali rindukan arwah, saya pasti akan mendengar lagu-lagu nyanyiannya sebagai ubat. Ada sekali saya bertanya kepada bapa mentua untuk mendengar sama tapi dia beritahu dia tidak kuat untuk mendengar suara arwah buat masa ini.
"Saya beritahu ini saja kenangan yang kita ada. Jadi bila rindu saya dengarlah lagu nyanyiannya kerana arwah memang suka menyanyi," katanya.
Sumber : Harian Metro
0 Comments