Selepas mendapat kecaman dari netizen gara-gara persembahan kurang menyengat minggu lalu, Cef selebriti dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob bersedia untuk beraksi lebih baik di atas pentas Gegar Vaganza musim kelapan minggu ini.
Fazley yang membawakan lagu Laguku Untukmu dipopularkan penyanyi Hasnol menjanjikan persembahan yang dijangka bakal menggegarkan emosi penonton malam ini.
“Saya tahu, persembahan malam ini akan menyentuh emosi penonton kerana lagu yang bakal dinyanyikan akan dipersembahkan dalam bentuk tribute. Tribute apa? Saksikan.
“Cuma apa yang boleh saya cakap, kepada yang menonton persembahan saya nanti, siap-siapkanlah tisu kerana ada permainan emosi. Bukan hanya saya, tetapi juga untuk penonton,” katanya.
Dalam pada itu, Fazley memberitahu bahawa dia sudah cukup bersedia dari segi vokal dan mental untuk memberikan yang terbaik pada persembahan malam ini.
“Minggu lepas saya agak gemuruh berhadapan dengan pentas yang begitu besar. Ditambah lagi dengan cabaran menyanyikan lagu sendiri selain teringatkan anak-anak saya yang menonton dari rumah. Emosi saya bercampur baur.
“Untuk malam ini, dari segi vokal, saya bersedia. Saya telah berjumpa dengan guru seperti Noryn Aziz, Siti Hajar Ismail dan Mark Adam untuk dapatkan pandangan mereka.
“Begitu juga dengan mental, cukup bersedia. Kekuatan saya datang daripada keluarga. Jadi saya luangkan banyak masa dengan anak-anak, minta nasihat ibu dan ambil semangat isteri,” ujarnya.
Pada persembahan minggu lalu, Fazley kurang bernasib baik apabila hanya meraih markah sebanyak 53.60 peratus sekali gus berada di kedudukan terakhir.
Tempat pertama diungguli penyanyi Aliff Aziz yang memungut markah sebanyak 74.60 peratus.
Sumber : Utusan Malaysia
0 Comments