Ticker

6/recent/ticker-posts

Da'i Syed perangkan rambut untuk jadi lebih yakin

 


Menimbulkan banyak persoalan mengenai penampilannya yang kini berambut perang, pendakwah muda dan penyanyi, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, 26, memberi alasan bahawa dirinya cuma mahu tampil lebih yakin di khalayak ramai.


Menurut Syed, keputusan untuk mewarnakan rambut dan mengubah imej itu telah dibuat olehnya sejak tahun lepas setelah dirinya dilanda pelbagai musibah.


“Saya akui mewarnakan rambut dengan menggunakan inai. Sebenarnya, saya buat ini ketika diri dilanda dengan segala musibah yang berlaku pada tahun lepas. Saya jadi tak yakin nak jumpa dengan orang.


“Bila saya perangkan rambut ini, ubah sikit imej dan penampilan, adalah rasa yakin sikit. Tak salah pun sebab saya pakai inai, bukan guna produk yang menghalang air atau yang menyukarkan saya untuk berwuduk atau mandi wajib,” katanya.


Syed berkata demikian semasa ditemui pada majlis pelancaran produk gincu BlackRevfa daripada MERVE Cosmetics Malaysia yang diadakan di Sky Glass, Sky Park, di sini semalam.



Ia juga bagi mengulas mengenai pertanyaan warganet dan orang ramai mengenai imej terbaru Syed itu yang dianggap tidak bersesuaian kerana dia juga merupakan seorang pendakwah bebas.


Selain itu, kata Syed, dia tidak menolak mungkin akan mengubah lagi penampilannya kepada yang lebih bersesuaian pada masa akan datang sekiranya punya sebab kukuh untuk tujuan itu.


“Contohnya, mungkin saya akan potong rambut pendek jika saya sudah jodoh, siapa tahu bukan? Tapi tentang perkara ini, saya serah pada Allah SWT. Buat masa sekarang, apa yang saya boleh katakan, saya mahu fokus pada keluarga.


“Ramai saja yang tanya saya bila nak kahwin…Contohnya bila saya balik kampung. Tapi, tak apalah, saya mahu fokus pada keluarga dulu.


“Bukan klise…Memanglah saya ada hasrat nak juga kahwin satu hari nanti. InsyaAllah, kalau ada nanti saya beritahu,”katanya.



Dalam pada itu, ditanya mengenai perkembangan seni, penyanyi lagu Ya Habib dan Albi Nadak ini memberi bayangan akan hadir dengan lagu terbaru pada awal tahun hadapan.


Katanya, lagu tersebut juga akan dihadirkan dalam bahasa Arab sementelah dia selesa membawa genre muzik seperti itu.


“Bukan tak nak bawa lagu bahasa Melayu, tapi saya nak buat apa yang saya rasa selesa dan suka. Kalau buat lagu bahasa Arab pun tiada salahnya. Manfaatnya, boleh tarik pendengar untuk menyukai bahasa Arab dan sebagainya.


“Saya tahu, adakala radio pun tak mainkan lagu saya sebab faktor ini. Tapi saya tak nak ikut apa yang radio mahu. Namun, dalam masa yang sama, saya berharap agar radio juga boleh memberi kelonggaran untuk memainkan lagu-lagu seperti ini,”katanya.

Sumber : Utusan Online

Post a Comment

0 Comments