Seorang wanita sanggup mengeluarkan 'modal' RM4,200 demi memenuhi hasratnya menjadi isteri seorang 'menteri' yang dikenali melalui laman sosial Facebook, awal bulan ini.
Mangsa berusia 59 tahun yang bekerja sebagai guru tadika itu juga dijanjikan hadiah wang tunai RM1 juta dan sebuah kereta mewah jenis Rolls-Royce sekiranya bersetuju untuk menjadi isteri lelaki itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jnayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki tersebut menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp bagi menyatakan hasratnya itu.
Menurutnya, sekiranya dia setuju, dia diminta berurusan dengan seorang wanita bernama Siti yang bertugas sebagai pengurus bank kepada 'menteri' itu.
"Wanita itu yang bersetuju untuk menjadi isteri lelaki tersebut diminta membuat bayaran RM4,200 sebagai yuran proses perkahwinan mereka.
"Pada Jumaat lalu, mangsa membuat bayaran seperti diminta melalui mesin deposit sebuah bank ke akaun bank atas nama seorang lelaki," katanya melalui satu kenyataan pada Isnin.
Mohd Wazir berkata, selepas bayaran itu dibuat, wanita itu mula curiga dan syak bakal suaminya itu penipu yang menyamar dengan menggunakan nama menteri berkenaan.
"Guru tadika itu yang mengalami kerugian RM4,200 tampil membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh pada Ahad.
Sumber : Sinar Harian
0 Comments