Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil menjelaskan video tular melibatkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun yang mendakwa beliau hanya ‘berposing’ ketika mencuci simen bersih di sekolah tersebut.
Sebaliknya, JKM selaku jabatan yang menguruskan operasi pembersihan itu telah memohon kesudian Rina untuk mencuci kesan-kesan najis unggas dan cicak yang dilaporkan pihak sekolah sukar dibersihkan sebelum ini.
Menurut JKM, memandangkan peralatan ‘water jet’ disediakan di lokasi berkenaan, maka Rina tidak menolak pelawaan untuk membantu.
“JKM sekali lagi ingin menegaskan bahawa keterlibatan Rina bukanlah sekadar membersihkan simen tersebut, malah beliau sama-sama melakukan kerja pembersihan dan susun atur logistik lain di sekolah itu.
“Kami berasakan tidak adil untuk netizen membuat tohmahan dan memperlekehkan usaha dan penglibatan Rina dalam operasi pembersihan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Pada masa sama, JKM turut merayu kepada orang ramai untuk sama-sama membantu menjadi Sukarelewan Keluarga Malaysia bagi membantu operasi pasca banjir.
Sebelum ini, satu video tular di laman media sosial dengan memaparkan Rina sedang membasuh lantai di sebuah sekolah menggunakan ‘water jet’.
Bagaimanapun, ramai netizen beranggapan Rina hanya mencuci lantai yang sudah dibersihkan selain sekadar membuat kerja untuk tujuan hantaran di media sosial.
Sumber : Kosmo! Online
0 Comments