Selepas tiga musim terlalu selesa dan tidak mengeluarkan belanja besar, kekalahan dalam final Piala Malaysia kelmarin ibarat ‘wake up call’ yang akan membuatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali berbelanja musim depan.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut membatalkan hasrat untuk berehat daripada bola sepak, sebaliknya menyifatkan dirinya seperti ‘harimau luka yang sedia bangkit semula.’
Dalam final Piala Malaysia kelmarin, JDT kalah mengejut 0-2 kepada Kuala Lumpur City (KL City), kekalahan yang dianggap Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebagai menaikkan lagi motivasi mereka untuk menjadi lebih kuat.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada setiap penyokong dan keluarga Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim.
“Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada setiap individu dalam kelab — para pemain, barisan kejurulatihan, dan staf — dengan mencipta sejarah sebagai satu-satunya kelab yang menang kejuaraan liga lapan tahun berturut-turut dan layak untuk peringkat tertinggi dalam Asia iaitu Liga Juara-Juara AFC.
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk berkongsi perkembangan kelab dan juga beberapa maklumat yang lain.
“Maklumlah orang jarang kalah ini, sekali sekala bila kalah jadi rajin pula buat kerja. Ada hikmah di sebaliknya, bagus juga ada ‘wake-up call’. Buat apa pun jikalau Allah SWT tidak mengizinkan rezeki tersebut bukan kita punya.
“Saya rasa untuk tiga musim terakhir ini, kami menjadi terlalu selesa, terlalu yakin dan kami tidak mengeluarkan belanja untuk skuad.
“Tetapi kini selepas apa yang terjadi, kami akan mula berbelanja semula kerana kami sudah dicabar. Ianya akan menjadikan kami lebih bermotivasi untuk bertanding tahun hadapan.
“Saya anggap kekalahan semalam adalah positif untuk JDT. Kami akan menjadi lebih obses untuk memperbaiki kesilapan kami dan menguatkan lagi pasukan ini.
“Kami akan menjalani latihan pramusim di Dubai dan Abu Dhabi untuk bermain dengan beberapa kelab tempatan di sana dan juga kelab-kelab Eropah untuk persiapan kami.
“Ada beberapa pemain akan dikekalkan, ada yang akan dipinjamkan keluar dan ada pemain yang akan dilepaskan.
“Pengarah Teknikal JDT akan membuat pengumuman kepada para penyokong dengan lebih mendalam lagi nanti.
“Saya baru ingat hendak berehat dari bola sepak tahun hadapan tetapi apa yang berlaku semalam membuatkan saya tidak jadi berehat.
“Seperti yang saya pernah katakan, ‘a wounded Tiger is always eager to bounce back’ (Harimau yang cedeera sentiasa bersemangat untuk bangkit semula.’),” katanya dalam Facebook Johor Southern Tigers hari ini.
Sumber : Utusan Online
0 Comments