KegiIaan masyarakat terhadap tanaman keladi sebagai hiasan nyata bukan calang apabila harga tumbuhan itu mampu mencecah RM100,000 hingga RM200,000 sepokok.
Harga luar biasa tinggi itu dimiliki keladi jenis Alocasia New Guinea Gold yang kini semakin mendapat perhatian peminat keladi.
Dek kerana harganya yang mahal dan warna fizikalnya kuning keemasan, keladi ini turut mendapat jolokan keladi emas 916.
Peniaga, Abdul Halim Yusuf, 35, berkata, harga ratusan ribu keladi dinilai berdasarkan kesenian yang ada pada keladi itu daripada segi bentuk ubi, lenggok dahan daun, warna yang lebih menyerlah, corak daun dan saiz keladi.
Katanya, kebiasaannya keladi yang bernilai tinggi mencecah usia 30 hingga 40 tahun.
"Harga keladi Emas 916 ini sebenarnya tiada had, semakin besar keladi, harga semakin tinggi.
"Kenapa harga keladi ini mahal sebab apabila ubi keladi ini besar, dia boleh hasilkan anak-anak yang banyak, sehingga satu induk boleh hasilkan 2,000 anak pokok, jadi apabila dijual semula dapat pulangan pelaburan yang lumayan," katanya ketika ditemui di Mini Fiesta Keladi Viral dan Flora di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung, Kota Bharu, di sini, hari ini.
Halim berkata, lebih membanggakan, nilai tinggi itu mengangkat martabat keladi tempatan yang bersaing dengan keladi pelbagai jenis daripada luar negara seperti Topeng Firaun (Pharoah Mask), Mickey Way, Black Lava, Mojito dan Cat Tumpah daripada negara jiran.
Katanya, Keladi Emas 916 boleh mencecah ketinggian sehingga dua meter dan ke atas sekiranya dijaga dengan baik.
"Usia keladi pula boleh mencecah 40 tahun hingga ratusan tahun selain mudah dijaga iaitu hanya perlukan siraman tiga ke empat hari sekali selain cuaca yang panas," katanya.
Beliau berkata, keistimewaan lain keladi ini adalah tarikan lirik daunnya yang mendongak ke langit selain mempunyai tiga gred berlainan walaupun daripada spesis sama.
Halim berkata, sejak hari pertama hingga hari ini, dia sudah menjana hampir RM30,000 jualan keladi termasuk jenis Emas 916, cat tumpah dan albino yang berharga RM3,000 hingga RM8,000 sepokok.
Penganjur, Azizol Abdullah berkata, seramai 39 usahawan keladi dengan 58 khemah jualan dibuka sepanjang fiesta berlangsung.
Katanya, sehingga kini lebih 10,000 pengunjung termasuk luar Kelantan hadir ke tapak jualan yang bermula jam 10 pagi hingga 10 malam sehingga 1 Januari depan.
Sumber : NSTP/ Nor Amalina Alias
0 Comments