Objek ditemui wanita di perairan Marang, sebelum ini, disahkan bukan muntah ikan paus atau ambergris seperti didakwa, selepas kajian dijalankan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini.
Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) UMT, Profesor Madya Dr Hasrizal Shaari berkata, pihaknya mengambil masa selama satu minggu bagi melakukan ujian untuk menentusahkan bahan berkenaan adalah muntah ikan paus atau sebaliknya.
Beliau berkata, menerusi kajian dijalankan bersama Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Dungun, pihaknya mendapati bahan itu dipercayai bukan muntah ikan paus.
Menurutnya, kajian mendapati bahan berkenaan tidak memiliki tiga bahan aktif utama yang terdapat pada ambergris tulen.
"Tiga bahan utama itu adalah ambrein (25 hingga 45 peratus), epicoprosterol 30 hingga 40 peratus) dan coprostanone (tiga hingga empat peratus).
"Jadi secara tidak rasminya saya mengesahkan bahan berkenaan bukan muntah ikan paus," katanya ketika ditemui di Makmal PPPL, UMT, di sini, hari ini.
Beliau berkata, analisis dilakukan membabitkan beberapa proses antaranya ujian melarutkan bahan itu dalam pelarut organik, pengeringan dan beberapa lagi proses sebelum melalui proses ujian makmal untuk menentukan sama ada ia ambergris atau bukan.
Menurutnya, daripada pandangan mata kasar, bahan itu memang nampak seakan sama seperti ketulan muntah ikan paus dan hanya ujian makmal sahaja dapat menentukan sama ada ia ambergris atau bukan.
Ketulan didakwa muntah ikan paus pernah ditemui di perairan negara dan sejak Januari hingga kini, kami melakukan kajian terhadap 18 sample diterima, namun semua sample itu disahkan bukan ambergris.
"Bahan itu kemungkinan lemak sayur dan sebagainya yang terkumpul atau gumpalan sisa lain yang dibuang ke laut, tetapi hasil kajian ia terbukti bukan ambergris," katanya.
Di Malaysia, hanya UMT satu-satunya universiti berupaya untuk menentusahkan ketulenan sampel ambergris itu berdasarkan kepakaran PPPL yang turut dibantu pakar di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT serta Universiti Plymouth, England.
Selasa minggu lalu, media melaporkan seorang wanita menemui objek dipercayai muntah ikan paus ketika sedang memancing berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Marang bersama keluarga pada akhir bulan lalu.
Wanita terbabit, Aida Zurina Long, 41, pada mulanya menyangka objek aneh itu adalah sampah sebelum diberitahu bapa ia adalah muntah ikan paus.
Berikutan itu, FRI Rantau Abang ke rumah wanita terbabit di Kemaman untuk mendapatkan sample sebelum diserahkan kepada PPPL UMT minggu lalu untuk ujian makmal.
Sumber : Harian Metro
0 Comments