Ticker

6/recent/ticker-posts

Penduduk Sri Muda dakwa operasi menyelamat dengan bot pilih kasih?

 


Terdapat dakwaan usaha menyelamat dengan bot dilakukan secara 'pilih kasih' dalam kalangan penduduk di kawasan itu.


Penduduk Taman Sri Muda M Uvarajan, 44 yang rumahnya dinaiki air membuat dakwaan itu, berkata terdapat pertimbangan politik oleh mereka yang berkuasa dalam memberi keutamaan pertolongan terhadap maangsa banjir.


"Orang ramai menderita, anda tahu? Pada tahun 1996 apabila (banjir) berlaku, tentera telah dikerahkan dan mereka melakukan kerja yang hebat.

"Sekurang-kurangnya kami diberi makanan sehingga bantuan sebenar datang. Kali ini sifar makanan. Orang ramai kelaparan dua tiga hari, belum ada bantuan lagi," katanya.


"Bantuan macam mana saya tak tahu. Boleh panggil BN atau Pakatan Harapan sama, semua cuba main politik wang sekarang," dakwanya.


Usaha pembersihan sedang dijalankan hari ini dengan penduduk yang terjejas akibat banjir pada hujung minggu telah kembali ke rumah apabila paras air semakin surut.


Ramai yang berdepan dengan kerosakan yang tidak terkira terhadap harta benda mereka yang ditenggelami air akibat hujan lebat berterusan, bukan sahaja di Selangor tetapi juga di seluruh semenanjung.


Di Selangor, Taman Sri Muda antara kawasan yang paling teruk terjejas, selain sebahagian daerah Klang dan Hulu Langat.



Ratusan penduduk dilaporkan terperangkap di rumah mereka sebelum akhirnya dipindahkan ke tempat perlindungan sementara.


Bagi David, 40, sebarang peluang untuk memulakan semula hidupnya memerlukan akses kepada simpanannya sendiri dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


"Simpanan KWSP saya sendiri pun mereka tidak mahu beri? Itu duit saya sendiri. Mereka beri kami RM10,000? Beri saya RM50,000 daripada wang saya sendiri, supaya saya boleh menggunakannya sekarang.


"Saya tidak perlukan wang kerajaan. Untuk menggantikan barangan rumah saya menelan belanja RM30,000, dan empat hari lagi akan tiba hari Krismas dan Tahun Baru," katanya dengan nada suara kecewa, sambil mengharungi air keruh di paras buku lali.


Diselamatkan bot persendirian


David menjelaskan lanjut mengenai pengalamannya ketika air naik, mendakwa operasi bot menyelamat dibuat secara terpilih.


"Air naik di dalam rumah. Saya cari bot saya sendiri, bayar. Saya nampak bot (penyelamat) lalu, saya memanggil minta tolong...saya ada anak lelaki berumur setahun. Bot itu mengambil penumpang mereka dan suruh saya tunggu.


"Akhirnya saya menelefon saudara saya yang menguruskan bot datang, saya membayarnya RM2,000. Saya perlu melindungi nyawa kami," katanya sambil menambah bot itu datang untuk mengambil isteri, dua anak dan ibunya yang sudah tua.


David berkata dia tidak pasti dari mana bot itu datang tetapi sanggup membayar untuk keselamatan keluarganya.


Dia juga mendakwa tidak pasti siapa yang bertanggungjawab dalam operasi penyelamatan rasmi, "Orang Melayu datang untuk orang Melayu, orang Cina datang untuk orang Cina, apa yang kita orang India boleh buat? Habis, cuma melihat sahaja mereka datang."


Seorang lagi penduduk yang memperkenalkan dirinya sebagai Gajendra berkata, keluarganya diselamatkan dengan bot persendirian pada petang Ahad, meninggalkan rumah mereka yang dihuni selama 12 tahun.


"Ia sangat menyayat hati. Semua kenangan kami hilang dalam satu hari. Kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana semua orang menghadapi perkara yang sama.


"Kami tidak boleh menyalahkan sesiapa. Kami cuba menjadikan semuanya normal, kami berdoa kepada Tuhan perkara ini tidak berlaku lagi," katanya.


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam berkata 41 bot, 16 lori dan aset lain dihantar ke Taman Sri Muda, dengan pasukan penyelamat terdiri daripada 321 anggota.




Di dalam rumah, kebanyakan penduduk mendedahkan keadaan huru-hara disebabkan oleh air naik setinggi enam kaki atau melebihi paras pintu biasa.


Penduduk Ainuddin Kahar berkata, dia berpindah ke rumahnya kira-kira setahun lalu dengan jangkaan memilih titik tertinggi di Sri Muda boleh menjadi pelindung daripada sebarang banjir.


“Jadi apa yang berlaku adalah di luar jangkaan. Sekarang kita cuma perlu lihat apa yang boleh kita pulihkan.


"Saya baru masuk untuk melihat rumah saya. Dari segi barangan yang musnah, semuanya di tingkat satu tidak boleh diselamatkan," katanya yang menganggarkan kerugian antara RM8,000 dan RM10,000 pada satu tingkat.


Mengimbas kembali kejadian itu, Ainuddin berkata, anak perempuannya yang berusia 13 tahun ditinggalkan bersendirian di rumah pada Sabtu ketika dia bekerja dan mujur anaknya itu akhirnya pergi ke rumah jirannya selepas paras air naik dengan cepat.


Kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri Selangor sejurus selepas banjir mengumumkan pelbagai bantuan untuk penduduk yang terjejas, termasuk bantuan tunai, pengecualian sewa dan lain-lain.

Sumber : MaIaysiaKini

Post a Comment

0 Comments