Ticker

6/recent/ticker-posts

Tak perlu makan ayam kalau mahal, pilihlah ikan, sotong, kata N. Nasir

 


SAUDARA PENGARANG,


AYAM ialah makanan kegemaran rakyat Malaysia. Ia dijadikan lauk yang dimakan dengan nasi ataupun diratah begitu sahaja setelah digoreng atau dipanggang.


Peribahasa Melayu juga banyak merujuk kepada ayam sebagai teladan. Misalnya berkaki ayam, ajak-ajak ayam, rabun ayam, musang berbulu ayam dan banyak lagi.

Ayam juga dijadikan lagu, antaranya dinyanyikan oleh Jalil Hamid.


Ringkasnya, ayam dan kehidupan harian kita sukar dipisahkan.


Apabila kita mendapat berita harga ayam melambung naik, kita jadi maati akal buat seketika. Kita jadi terkejut, terkedu, kaku dan otak kita membeku buat seketika seolah-olah dunia ini telah berhenti berputar.



Kita menjadi bengis dan marah. Ruang di mana kita berada ketika itu menjadi gelanggang seni bela diri campuran (MMA). Apa sahaja hidupan yang berada dalam ruang tersebut akan jadi sasaran. Waima lalat yang buat penerbangan pintas di hadapan kita untuk ke dapur pun kita terkam dan belasah, mengalahkan pembuli di sekolah berasrama penuh.


Kenaikan harga ayam hidup, ayam mentah dan ayam yang sudah dimasak menyebabkan pelbagai pihak mula menuding jari antara satu sama lain. Umpama lagu Bangau Oh Bangau, pembeli menyalahkan peniaga, peniaga menyalahkan pembekal manakala pembekal menyalahkan orang tengah.


Orang tengah menyalahkan penternak, penternak menyalahkan pembekal makanan ayam, rakyat menyalahkan kerajaan dan akhirnya mungkin ayam itu sendiri yang dipersalahkan.


Sebagai pengguna, kita berhak untuk membuat pilihan. Jika harga ayam itu mahal bagi kita, jangan makan ayam. Pilih makanan lain misalnya ikan, sementara menunggu harga ayam kembali stabil.


Siakap dan sotong pun tidaklah mahal sangat seperti digembar-gemburkan jika dibeli di pasar atau kedai makan yang biasa-biasa.


Namun, jika terpaksa makan ayam juga atas faktor kesihatan, keagamaan dan lain-lain, berjimatlah perbelanjaan pada perkara lain seperti rokok dan minyak kenderaan untuk membeli ayam.

Apabila kerajaan mengumumkan untuk mengimport ayam sejuk beku dari China dan Thailand, ada pihak musykil dan ragu-ragu dengan status halalnya.


Dalam bab halal dan haram, orang Melayu sangat sensitif tanpa mengira pangkat dan darjat. Mereka tidak mahu makanan dan minuman haram menjadi darah daging mereka dan kemudiannya diwarisi pula oleh anak cucu kelak.



Oleh itu, kerajaan mesti memastikan ayam sejuk beku yang diimport dari luar negara benar-benar halal.


Diharap segala tindakan yang diambil oleh kerajaan bukanlah sekadar hangat-hangat tahi ayam. Dalam keadaan sekarang, rakyat ibarat ayam berinduk, sirih berjunjung. Tambahan pula ada dalam kalangan rakyat umpama anak ayam kehilangan induk.


Janganlah rakyat dianggap seperti ayam tak patuk, itik tak sudu. Semoga segala pertelagahan mengenai kenaikan harga ayam dapat ditangani sebaik mungkin kerana carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga.


Dengan izin Allah SWT, harga ayam akan kembali stabil suatu hari nanti dan bekalan ayam tempatan mencukupi.

Buat sementara waktu, berkorbanlah sedikit dalam perbelanjaan jika masih ingin makan ayam ataupun pilih menu makanan selain ayam.


N. NASIR, Bangi, Selangor

Sumber : Utusan Online

Post a Comment

0 Comments