Ticker

6/recent/ticker-posts

Ibu Bapa Mengeluh Panjang Lihat Yuran Tadika Mahal Mengalahkan Nak Masuk Universiti

 


“MAHALNYA… tapi nak buat macam mana, nak tak nak memang kena bayarlah,” keluhan begini acap kali diungkapkan setiap awal tahun.


Yuran mahal ini biasanya terjadi kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke tadika swasta. Mengapa tadika swasta menjadi pilihan, sedangkan ada tadika kemas yang disediakan dengan tanpa apa-apa yuran.


Mengapa agaknya ibu bapa sanggup berhabis duit untuk anak-anak yang masih kecil, iaitu bermula usia tiga hingga enam tahun?


Apakah faktor yang menyebabkan mereka reda untuk membayar yuran yang begitu tinggi. Ada yang mengatakan, yuran mahal ini bergantung kepada sejauh mana populariti tadika tersebut. Rata-rata ibu bapa yang ditemui berkata, pemilihan tadika swasta pada hari ini sudah menjadi keperluan bukan lagi pilihan.


Bagi Azmi Nasir, 37, dua anaknya dihantar ke tadika swasta yang berkonsepkan Islamik kerana pendekatan yang digunakan.


“Kalau nak kata memilih tu tidaklah. Tetapi, tadika swasta ini pendekatannya lebih dekat dengan alam persekolahan nanti.


“Dua-dua anak saya dihantar ke tadika sejak usia lima tahun. Saya akui, memang perlu memperuntukkan sejumlah wang agak besar setiap hujung tahun.


“Saya berusaha untuk lunaskan yuran kerana saya melihat perkembangan anak-anak saya di mana dalam pembelajaran dan juga disiplin,” katanya.


Katanya, yuran itu tidak termasuk bayaran lain seperti hari sukan, lawatan dan hari anugerah.


“Itu kena bayar lain. Sudahlah bulan-bulan saya bayar hampir RM300, nanti ada tambahan lagi.


“Sudahlah yuran mahal, ditambah dengan bayaran lain membuatkan kita ibu bapa ni terpaksa ikat perut,” ujarnya.


Biarpun mengakui, tadika swasta membantu anak-anaknya hingga boleh solat dengan baik dengan pendekatan berbeza yang ditunjukkan di tadika, namun yuran mahal tetap memberi tekanan kepada ibu bapa.



“Buat masa sekarang, seorang anak saya yang tadika, kakaknya dah sekolah rendah, nanti lima tahun lagi adiknya pula.


“Kalau yuran semakin tinggi, saya tak tahu nak cakap macam mana. Saya sangat berharap, perkara ini dapat perhatian daripada pihak berwajib dan memantau setiap pergerakan tadika-tadika swasta,” katanya yang mengakui silibus yang digunakan sangat berkesan pada anaknya.


Pendapat sama turut disuarakan Aminah Abdullah, 35, apabila tadika Kemas yang berdekatan rumahnya penuh.


“Saya ada cuba nak hantar, tapi dah penuh tapi alasan utama mereka adalah kerana gaji saya agak tinggi.


“Tadika Kemas meletakkan syarat-syarat tertentu, jadi nak buat macam mana, terpaksalah membayar yuran tinggi setiap tahun,” katanya yang mula menghantar anaknya ke tadika sejak usia empat tahun.


Katanya, memilih tadika swasta adalah kerana di situ juga disediakan pusat jagaan harian selepas tamat sesi pembelajaran.


“Saya tak payah lagi nak fikir transit dan sebagainya. Tadika swasta ni ada buat, jadi bayar sajalah.


“Tadika kemas tak sedia perkhidmatan itu. Kalaulah yuran itu dapat dikurangkan, lebih baik memandangkan zaman sekarang semua benda naik harga,” katanya.


Bagi Aminah Abdullah, 35, yang menghantar anaknya ke tadika juga bersetuju jika pihak berwajib dapat memantau yuran yang dikenakan.


“Saya faham, mereka ni ada persatuan, jadi kalau persatuan kata tak boleh lebih sekian-sekian harga, kenalah kita ikut.


“Saya setuju bila cakap tadika swasta bukan lagi pilihan tapi keperluan. Betul, pendekatan pembelajaran yang dilakukan amat efektif untuk anak-anak, cuma kita bukan orang kaya nak bayar mahal-mahal sangat,” katanya.


Katanya, perkara ini perlu diperhalusi memandangkan kos sara hidup semakin meningkat.


“Saya dan suami perlu sediakan RM1,500 untuk pendaftaran tadika anak kami.


“Dengan yuran yang agak tinggi, ia sedikit memberi bebanan, namun apabila memikirkan pendekatan yang digunakan tadika terbabit, saya jadi tidak kisah pula. Cara pembelajaran mereka lain sari tadika lain. Banyak simulasi yang digunakan, contoh mengenali pokok pisang, bukan hanya melihat gambar, malah sebatang pokok pisang dibawa dalam kelas.


“Dari situ anak-anak ini akan merasai sendiri bagaimana rupa dan boleh menyentuhnya,” katanya.


Begitu juga Wani Mehat, 33 yang memperuntukkan RM1000 untuk yuran tadika anaknya.


“Tadika yang saya hantar tu bukan popular seperti yang selalu kita dengar. Tapi… yuran pun boleh tahan juga ye, mahalnya.


“Walaupun gaji saya tak besar mana, tapi saya tak dapat nak daftarkan anak saya ke tadika Kemas. Nak tak nak, kenalah hantar ke tadika swasta,” katanya.


Namun katanya, pemilihannya ke tadika swasta adalah kerana disediakan pusat jagaan harian.


“Saya bekerja, tadika dekat rumah, bukan pejabat. Jadi, saya tak boleh nak ambil anak saya bila habis waktu.


“Mujur mereka sediakan perkhidmatan ini, jadi mudahlah saya dan suami. Saya perasan ada kenaikan harga yuran.


“Kalau tak silap, hampir RM100 tambahan dari tahun lepas. Apa yang dimaklumkan, buku dan silibus pembelajaran yang menjadikan yuran mahal,” katanya.


Sebagai ibu bapa, mereka tidak ada pilihan lain namun berharap yuran tadika seharusnya tidaklah terlalu mahal.



Bagi Aishah Mohamad, 34, melihat kendiri anaknya sejak dihantar pada usia empat tahun, dia nekad untuk terus menghantar anaknya.


“Tahun ini anak saya lima tahun. Saya risau juga pada mulanya hantar dia ke tadika. Saya memang memilih tadika swasta berkonsepkan Islamik dengan bahasa utamanya Bahasa Inggeris.


“Yuran mahal tu memang tak dapat dinafikan… apa yang boleh kami buat? Nak yang terbaik kena bayar lebih la kan,” katanya.


Biarpun sedikit tertekan, namun sebagai ibu bapa tidak ada apa yang mampu dilakukan.


“Kalau ada pihak yang sudi nak bawa hal ini ke tengah, kami ibu bapa tumpang berbangga dan bersyukur.


“Iyelah, anak tadika tapi yuran macam nak masuk asrama penuh sekolah menengah,” katanya.


Anak saya Kemas, pandai nyanyi-nyanyi.


Di sebalik keseronokan ibu bapa menghantar anak ke tadika swasta, masih ramai ibu bapa yang meneruskan kesinambungan mereka ketika kecil iaitu ke tadika Kemas.


Bagi Zila Wahi, 32, tiga daripada empat anak-anaknya dihantar ke tadika Kemas.


Mengakui faktor utamanya adalah kewangan yang tidak mengizinkan, Zila berkata, setakat ini anak-anaknya pandai menyanyi dan berdoa.


“Di tadika Kemas, memang tak ada pembelajaran khusus untuk mereka. Saya ada hadir taklimat ibu bapa sejak tiga tahun lalu.


“Bukan niat saya nak mengkritik atau apa, tetapi pegawai yang memberi taklimat itu seolah-olah membaca skrip kerana setiap bait ayatnya sudah saya hafal sejak tiga tahun lalu.


“Katanya, anak-anak pada usia lima tahun belum masanya untuk belajar, biarkan mereka bermain dahulu,” katanya.


Sumber : Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments