Ticker

6/recent/ticker-posts

Rakyat kesal dan bengang kenaikan harga meIampau Grab

 


Perunding Thirunavukarasu Lacheman, 52, pengguna tetap Grab berkata kenaikan itu bermula kira-kira sebulan lalu.


“Kalau saya pergi ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari Klang, tambang biasanya sekitar RM50 dan pada waktu puncak, maksimum RM60.


“Tetapi kini ia naik kira-kira RM92, yang saya anggap tidak masuk akal. Saya tidak pernah menaiki sebarang pengangkutan pada harga RM80 atau RM90 sebelum ini,” katanya.


Thirunavukarasu berkata sejak kembali ke Malaysia semasa wabak selepas tinggal di Jepun selama empat tahun, beliau sudah terbiasa dengan pengangkutan awam, perkhidmatan kereta dan tidak memandu.


“Saya menggunakan Grab setiap hari, dan oleh itu, saya sudah biasa dengan tambangnya.


“Harga pada waktu bukan puncak bertambah RM2 hingga RM3, yang sememangnya memberi banyak perbezaan dalam perbelanjaan.


“Dan harga pada waktu puncak adalah sangat tinggi iaitu 1.5 kali ganda,” katanya.


Seorang peguam yang bekerja di Kuala Lumpur, Angelina Koh, berkata beliau pernah menggunakan perkhidmatan Grab setiap hari untuk seorang “tea lady” di firmanya, sejak perintah kawalan pergerakan bersyarat pada Mei hingga Jun tahun lalu.


“Beliau menaiki pengangkutan awam dari flatnya di Setapak ke Mont Kiara untuk bekerja, tetapi kami memanggil Grab untuknya kerana kami tidak mahu beliau dijangkiti Covid-19 dan menjangkiti seluruh pejabat.


“Pada mulanya, perjalanan sehala jika balik ke rumah kira-kira RM18, dan kemudian dalam lingkungan RM20. Mulai awal November, ia naik kepada lingkungan RM40.


“Kos pengangkutannya melebihi RM1,000 sebulan,” kata Koh.


Peguam itu berkata pekerja berkenaan kini menemui seorang pemandu yang mengenakan bayaran RM30 untuk perjalanan dua hala setiap hari.


Koh berkata, pada penghujung suku tahun ini, beliau juga secara peribadi mendapatkan perkhidmatan Grab ke kawasan yang mempunyai tempat letak kereta yang terhad dan terkejut dengan harganya yang tinggi.


“Kadarnya melampau dan saya mengambil masa setengah jam untuk mendapatkan pemandu. Tetapi saya adalah sebahagian daripada golongan yang menggunakan Grab kerana kemudahan dan bukannya keperluan,” katanya.


Thirunavukarasu dan Koh berkata kebanyakan pengguna Grab juga kini beralih kepada pesaing AirAsia Ride untuk alternatif yang lebih murah.



Alternatif lain


Seorang pemandu yang bekerja dengan kedua-dua syarikat perkhidmatan e-hailing, memberitahu The Malaysian Insight lebih ramai pemandu memilih AirAsia kerana ia mengambil komisen yang lebih sedikit dan membenarkan mereka membuat pilihan untuk menerima tugasan.


“Komisen AirAsia 15% manakala Grab 20%. Komisen lebih tinggi bermakna gaji yang lebih rendah.


“Dan portal Grab mempunyai ciri auto-terima, tetapi dengan AirAsia, saya boleh memilih penumpang berdasarkan destinasi,” kata pemandu itu.


Pemandu itu menambah lebih ramai penumpang akan memilih AirAsia pada waktu puncak kerana bayarannya lebih murah. 


Oleh itu, pemandu akan memberi tumpuan kepada AirAsia pada waktu itu.


Bagi perkhidmatan e-hailing lain sedia ada seperti Gojo dan Mula, pemandu berkata sistem mereka tidak seefisien yan lain.


Beliau berkata sistem Grab paling canggih, dengan menawarkan lebih perlindungan kepada pemandu.


“Jika saya berhenti lama, Grab akan bertanya sama ada saya ok. Terdapat juga langkah keselamatan jika saya dirompak oleh penumpang,” kata pemandu itu.


Seorang lagi pemandu Grab berkata beliau hanya bekerja dengan Grab kerana terpengaruh dan disyorkan oleh rakan-rakan yang menyertai syarikat e-hailing itu.


Lelaki berusia 50 tahun yang menyertainya pada Mac berkata Grab adalah kerja sambilan yang boleh menjana pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan, yang membantunya membuat pembayaran kereta baharunya.


Katanya, beliau selalu beroperasi pada waktu puncak di sebelah petang selepas habis tugas hakikinya.


“Kadar lebih mahal pada waktu puncak kerana Grab memberi insentif untuk menarik ramai pemandu yang enggan bekerja dalam tempoh tersebut.


“Pemandu percaya trafik yang sesak tidak berbaloi dengan bayaran. Selain itu, apabila jumlah pemandu berkurangan sedangkan permintaan tinggi, sistem secara automatik akan menaikkan tambang,” katanya.


Seorang pemandu teksi bajet memberitahu The Malaysian Insight terdapat pengguna Grab yang memutuskan untuk menggunakan teksi bermeter pada waktu puncak juga.


“Sesetengah penumpang bijak dan akan menggunakan perkhidmatan teksi, yang lebih murah. Pemandu teksi juga mengetahui jalan pintas jalan lebih baik berbanding pemandu Grab yang bergantung pada aplikasi GPS Waze,” katanya.


Terjejas banjir



Bagi Jeffrey Lim Chin Leng, beliau berharap bantuan dapat diberikan kepada pekerja gig yang kereta mereka terjejas akibat banjir besar di Lembah Klang baru-baru ini.


Pekerja sosial berusia 55 tahun itu prihatin terhadap beberapa pemandu yang mengalami kekurangan pendapatan ketika kereta mereka masih dibaiki.


“Kereta yang dinaiki air akan menjadi masalah, berdepan dengan kerosakan yang kerap, walaupun selepas baik pulih,” kata Lim.


Thirunavukarasu juga berkata beliau kenal beberapa pemandu Grab yang tidak dapat memandu selepas banjir.


“Mereka yang menggunakan kereta peribadi untuk membawa Grab berkata tidak menerima berita atau bantuan daripada Grab selama ini,” katanya.


Grab enggan mengulas selepas The Malaysian Insight datang untuk temu bual mengenai kenaikan tambangnya.


Awal bulan ini, Grab meraikan kejayaannya dalam penyenaraian awam AS dengan Nasdaq.


Dan kemudian pada pertengahan bulan ini, Grab membeli Jaya Grocer dengan jumlah yang tidak didedahkan. – 4 Januari, 2022.

Sumber : The Malaysian Insight

Post a Comment

0 Comments