Menghuni ranking kedua Asia dan menyumbang pingat pada setiap kejohanan, Rayzam Shah Wan Sofian terkilan elaun latihan bulanannya dipotong oleh Majlis Sukan Negara (MSN) daripada RM2,000 kepada RM800.
Katanya, dengan status sebagai atlet kebangsaan sepenuh masa yang bergantung kepada elaun, amat mustahil buat dia atau mana-mana atlet sekalipun ‘hidup’ dengan RM800 sebulan.
Menurut pemenang pingat emas 110 meter lari berpagar pada Sukan SEA 2007 dan 2017 itu, jika dulu semua pemenang pingat sama ada emas, perak dan gangsa akan menerima RM2,000 kini hanya pemenang emas menikmati elaun RM2,000, manakala perak dan gangsa diberi RM800.
Dia yang meraih perak dalam Sukan SEA Filipina 2019 dan sudah berbakti buat negara sejak 15 tahun lalu berharap MSN dapat menilai semula dengan lebih telus potongan elaun tersebut kerana jumlahnya terlalu drastik.
“Saya harap MSN ada budi bicara untuk mempertimbangkan potongan elaun ini kerana ramai atlet yang berjaya mengekalkan prestasi meskipun tanpa pingat emas.
“Kalau RM1,500 tak apa lagi, tapi kalau sudah jatuh sehingga RM800, saya pun terfikir-fikir mungkin lebih baik kerja lain sahaja yang berikan gaji lumayan, lebih baik kerja McDonald,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rayzam yang tinggal di Sabah menjalani latihan sepenuhnya di sana, berbanding atlet yang mendapat latihan penuh di MSN, Bukit Jalil yang mendapat tempat tinggal percuma dan makanan secara berjadual.
“Saya sudah berkeluarga, dengan RM800 apalah yang dapat saya buat, dengan tanggungan rumah, elektrik dan anak.
“Bagi saya, MSN perlu lebih telus dan ada budi bicara dalam menilai prestasi atlet, tidak wajar pencapaian hanya dinilai berdasarkan pingat, bukan prestasi tahunan atau bahkan ranking di Asia,” kata atlet berusia 34 tahun itu.
Rayzam sebelum ini pernah mendapat pingat perak pada Sukan SEA 2019 di Filipina dan sudah menjadi atlet negara sejak umurnya 19 tahun.
Selain menggugurkan 144 atlet daripada program latihan kebangsaan kerana bajet yang diterima MSN dikurangkan dalam usaha kerajaan memberi keutamaan kepada pasca Covid-19 dan bencana banjir yang melanda beberapa negeri, MSN turut memotong elaun mereka yang terlibat program.
Sumber : Utusan Online
0 Comments