p/s : Gambar hiasan
“Masalah beg berat tidak akan timbul jika murid-murid menyusun buku sekolah mengikut jadual dengan betul.
“Isu yang timbul adalah mereka salah memilih jenis beg sekolah untuk digalas pada bahu mereka,” kata Pakar Perunding Ortopedik Spinal, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Datuk Dr Azmi Baharuddin.
Tambahnya, beg jenis beroda bukanlah pilihan terbaik untuk murid sekolah.
“Pada saya, beg beroda itu sesuai kalau mereka berada di kelas aras bawah.
“Tetapi kalau murid berada di tingkat atas, mereka perlu pilih beg yang bagus dan membawa beg dengan cara yang betul,” katanya.
Menurutnya lagi, beg silang juga tidak sesuai dibawa ke sekolah kerana murid-murid perlu seimbangkan beban pada kedua-dua bahu mereka.
“Pemakaian beg silang tidak sesuai sebab ia melibatkan satu bahagian badan.
“Satu bahagian badan akan sakit, pindah ke satu bahagian lagi bertambah sakit,” katanya.
Azmi juga menyarankan murid sekolah supaya memakai beg jenis galas.
“Kita haruslah galakkan anak-anak bila bawa beg perlu digalas pada kedua-dua belah bahu, elakkan pakai sebelah bahu.
“Terutama anak-anak yang sekolah menengah, mereka galas beg sebelah bahu sebab nak bergaya,” katanya.
Beliau juga menasihatkan murid-murid supaya membeli beg galas dari material yang ringan berbanding memilih beg yang mempunyai rekaan cantik semata-mata.
Beliau berkata demikian ketika menjadi penceramah jemputan pada sesi Wacana Bestari yang diadakan secara langsung dari Facebook Sinar Bestari, semalam.
Hadir sama Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Puchong, Mohamed Tazwid Nordin, Pengarah Eksekutif GAINS Education Group, Zaliza Alias dan Nur Shazwani Roslan bertindak sebagai moderator program.
Sumber : Sinar Harian
0 Comments