"Saya berada dalam keadaan sangat terdesak dan buntu sebab itu saya nekad buat video demi emak kerana sudah lama kami menunggu permohonan untuk diluluskan," kata Diwiyana Mohammed.
Diwiyana, 37, meluahkan perasaan kecewanya apabila mendakwa ibunya, Selamah Hamid, 73, yang berstatus orang kurang upaya (OKU) terlantar masih belum mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) seperti video yang tular di media sosial sejak semalam.
Menurutnya, dia terpaksa berbuat demikian selepas buntu untuk mencari wang bagi membeli lampin pakai buang ibunya yang sudah habis dan mereka juga sudah kehabisan wang simpanan.
Katanya, ibunya nyanyuk dan lumpuh serta tidak boleh berjalan sejak enam tahun lalu amat memerlukan lampin pakai buang.
"Saya mempunyai masalah '' teruk dan tekanan perasaan sejak enam tahun lalu dan ikutkan doktor saya tidak sesuai untuk menjaga mak tetapi saya tetap mahu menjaganya kerana adik-beradik lain juga tidak berkemampuan.
"Lampin mak tidak boleh lambat ditukar jika dia membuang air besar, kalau tidak dia akan buka lampin dan main najisnya sendiri.
"Sebab itu saya terdesak dan buntu apabila permohonan bantuan masih belum diterima, saya memang tiada duit, malah dua minggu lalu saya terpaksa pecah tabung duit syiling anak...dapatlah RM16 saja.
"Hanya mereka pernah menjaga orang sakiit saja tahu situasi ini," katanya ketika ditemui di rumah keluarga mentuanya di Parit 1A, Sungai Manik di sini, hari ini.
Diwiyana ditemui ketika ziarah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak yang diketuai Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri.
Diwiyana berkata, sebelum ini dia bersama suami, Taufiq Ikhmal Mohd Yusuf, 25, ibu dan enam anaknya termasuk tiga anak dari perkahwinan terdahulu tinggal di Cheras, Kuala Lumpur sebelum mereka berpindah ke Sungai Manik kira-kira dua tahun lalu.
Menurutnya, dia ada menerima bantuan JKM sebanyak RM350 sebulan sebagai penjaga ibunya dan mendakwa sebelum berpindah sudah memaklumkan perkara itu kepada jabatan berkenaan.
"Saya hantar borang permohonan baru kepada JKM di sini, selepas berpindah tetapi borang pertama dikatakan hilang dan saya hantar sekali lagi pada Januari lalu tetapi masih belum ada jawapan, manakala permohonan kepada Baitulmal pula dimohon pada bulan ini.
"Saya pindah ke sini dan menumpang di rumah ibu mentua bersama suami, ibu, anak dan adik suami, manakala ibu dan bapa mentua tinggal di rumah berasingan.
"Dengan kehidupan yang semakin sukar susulan pandemiik ini dan keadaan diri saya, keluarga mentua minta kami berpindah ke sini sekali gus memudahkan urusan menjaga mak," katanya.
Menurutnya, selepas berpindah dia dan suami yang sebelum ini berkerja sebagai penghantar barang cuba berniaga burger dengan pendapatan harian tidak menentu iaitu antara kira-kira RM20 hingga RM100.
"Alhamdulillah selepas video itu tular, ramai yang membantu kami, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan serta JKM dan Baitulmal juga sudah datang menemui kami untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ahmad Adnan berkata, pihaknya hadir menyantuni dan menyalurkan bantuan berupa keperluan dapur dan lampin pakai buang kepada keluarga Diwiyana selepas videonya tular di media sosial.
Katanya, mereka juga hadir bersama kaunselor dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam IPD Hilir Perak sebagai sokongan kepada Diwiyana.
"Kita prihatin dengan penduduk setempat yang berhadapan masalah dan ini menunjukkan polis dan masyarakat berpisah tiada sekali gus dapat meringankan beban keluarga terbabit," katanya.
Sumber : Harian Metro
0 Comments