TUMPAT – Seorang peniaga tidak menang tangan melayan pelanggan selepas lima tan durian yang dijualnya habis hanya dalam tempoh kurang dua jam di Kampung Semat Jal di sini kelmarin.
Peniaga durian, Shahmi Azani Mohd. Tanazi, 29, berkata, premisnya diserbu pelanggan selepas mereka membuat promosi jualan sebakul durian Raub pada harga RM10.
Katanya, dia menjual durian itu pada harga mampu milik setiap hari, namun pelanggan dilihat berpusu-pusu datang ke premisnya sejak kelmarin iaitu pada hari cuti hujung minggu.
“Selain promosi durian kampung, saya dan isteri, Shaidatul Fatini Shamsudin, 30, turut menjual durian jenis IOI dan kunyit kepada pelanggan. Namun, jumlahnya sedikit berbanding stok durian kampung.
“Saya membuka premis ini setiap hari pada pukul 10 pagi dan sepatutnya tutup kira-kira pukul 2 petang. Apabila ramai pelanggan seperti hari ini (kelmarin), pukul 12 tengah hari sudah boleh pulang ke rumah apabila semua jenis durian habis dijual,” katanya ketika ditemui Kosmo! kelmarin.
Menurut Shahmi Azani, selain pelanggan dari Tumpat, gerainya turut dikunjungi pelanggan dari Kota Bharu, Tanah Merah dan daerah paling jauh di Kelantan iaitu Gua Musang.
Katanya, promosi yang dibuat menerusi Facebook, Pemburu Buah Group itu ternyata membuahkan hasil apabila mampu menarik pelanggan dari daerah lain untuk datang dan membeli durian di premisnya.
“Sejak berniaga durian kira-kira 12 tahun lalu, saya tidak pernah berkira dengan pelanggan. Sekiranya buah rosak, saya akan tukarkan buah baharu untuk mereka,” katanya.
Kredit : Kosmo!
0 Comments