Ticker

6/recent/ticker-posts

Rafizi Ramli cadang peniaga dan pengusaha restoran guna pekerja sambilan

 


Golongan peniaga dan pengusaha restoran disarankan untuk menggunakan perkhidmatan pekerja sambilan dalam sektor perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) sebagai cara untuk mengatasi cabaran kenaikan kos yang dihadapi. 


Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, peningkatan kos sampingan seperti kos pekerja harus ditanggung oleh pengusaha restoran akibat pelaksanaan gaji minimum RM1,500. 


Oleh itu, dia menyatakan, saranan tersebut adalah salah satu daripada beberapa langkah yang sedang diterokai termasuk potensi penyebaran model tenaga kerja sambilan (gig workforce).




“Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk menyelaraskan pasaran kerja dengan tuntutan sektor ekonomi yang menjadi sebahagian daripada usaha menyeluruh menstrukturkan kembali ekonomi negara.


“Dalam masa terdekat ini, saya akan bertemu dengan wakil-wakil pengusaha restoran dan peniaga makanan untuk membincangkan secara dua hala langkah-langkah yang boleh diambil bersama kerajaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.


Pada masa yang sama, Rafizi juga menyambut baik pandangan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan tentang peranan yang perlu dimainkan oleh kerajaan, peniaga dan pengguna dalam mengatasi kenaikan harga makanan dan minuman. 



Menurut beliau, seperti yang diumumkan oleh Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) baru-baru ini, walaupun inflasi untuk Disember 2022 mereda kepada 3.8 peratus dibandingkan 4 peratus pada bulan sebelumnya, kategori harga di restoran dan hotel adalah satu-satunya kategori yang masih belum mereda. 


Ia mengalami kenaikan 7.4 peratus pada Disember 2022 dibandingkan 7 peratus bulan sebelumnya.


Sumber : Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments