PENGARAH Syamsul Yusof berkata tindakannya menyekat nombor isterinya iaitu Puteri Sarah Liyana adalah kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan dan situasi hubungan mereka.
Dedah Syamsul, 39, setiap kali berbincang mengenai isu rumah tangga mereka, Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, akan mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh membuatkan keadaan menjadi lebih buruk.
"Saya menyekat isteri saya kerana tidak suka bergaduh. Macam mana saya nak berkomunikasi dengannya kerana dia sentiasa memaki hamun, engkau aku engkau aku.
"Awak dah tak ada rasa hormat. Saya tidak ada ruang untuk berbicara atau kalau tak ada apa pun awak tiba-tiba WhatsApp maki saya dan saya rasa ia memudaratkan. Sebab itu saya block," katanya.
Syamsul berkongsi perkara itu menerusi rakaman yang dimuat naik di Instagram miliknya pada pagi Rabu.
Sebelum ini, Sarah memberitahu dia disekat oleh Syamsul sehingga tiada ruang untuk mereka berbincang mengenai masalah rumah tangga.
Dalam pada itu, Syamsul turut menjelaskan dia masih lagi berkomunikasi dengan Sarah melalui ibu mentuanya berhubung isu nafkah dan anak-anak.
"Selama ini kami berkomunikasi melalui ibunya, ibu saya bersama dua orang gaji lagi. Kita sentiasa berkomunikasi, malah baharu tadi awak nak duit saya bagi.
"Walaupun saya block Sarah, tetapi anak-anak saya tidak pernah abaikan. Perbelanjaan keluarga saya tetap beri. Saya bekerja keras memang untuk isteri dan anak-anak," jelasnya.
Saya menyekat isteri saya kerana tidak suka bergaduh. Macam mana saya nak berkomunikasi dengannya kerana dia sentiasa memaki hamun, engkau aku engkau aku.
SYAMSUL YUSOF
PENGARAH
Sementara itu, pengarah filem Mat Kilau ini memberitahu dia terpaksa menjelaskan perkara ini di media sosial kerana Sarah yang membuka segala cerita 'dalam kain' mereka dahulu.
Baginya, urusan rumah tangga tidak perlu diceritakan kepada umum kerana bakal mengundang fitnah orang ramai.
Kata Syamsul, pendedahan Sarah itu juga mengundang pelbagai kecaman netizen.
Justeru itu, dia meminta orang ramai tidak memberi sebarang komen kerana tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam masalah rumah tangga mereka.
"Bukan semua perkara yang anda baca di media, anda boleh percaya. Ini yang membuatkan saya tersepit. Saya ambil inisiatif untuk berdiam diri kerana buat apa hal rumah tangga nak diceritakan di media sosial.
"Saya terpaksa membuat video ini untuk menangkis tanggapan buruk daripada netizen. Kalau tak tahu hal sebenar jangan bersuara. Dosa kering je kita buat nanti," ujarnya.
Syamsul juga meminta orang ramai supaya tidak memberikan kata-kata yang tidak baik buat Sarah dan isteri kedua iaitu Ira Kazar, termasuklah keluarganya.
"Saya tidak mahu jangan dimarah atau berkata apa sahaja kepada kedua-dua isteri saya Puteri Sarah dan Ira Kazar. Jangan kata benda-benda tak elok kepada mereka.
"Sama juga dengan ibu dan ayah saya. Kalau nak kutuk dan hina, kutuk sahaja saya kerana saya yang membuat keputusan untuk berkahwin lain mengikut hukum agama," katanya.
Pada Selasa, Sarah meminta Syamsul melepaskannya kerana tidak rela dimadu.
Malah, aktres ini juga malu kerana anak-anaknya mempunyai bapa seperti Syamsul.
Untuk rekod, Syamsul dan Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Pada Jumaat lalu, Syamsul membuat kejutan apabila mengumumkan telah bernikah dengan Ira Kazar di Thailand dan berwakil walikan ayahnya, Kazar Saisi.
Sumber : mStar Online
0 Comments