Bekalan air terputus dan dia terpaksa menumpang di rumah kakak angkat. Itulah alasan yang diberikan oleh seorang duda apabila ditangkap kerana berkhawat dengan seorang janda yang mempunyai 11 orang anak di Taman Maju, di sini, semalam.
Bapa kepada dua orang anak berusia 35 tahun yang juga merupakan anggota pasukan keselamatan memberikan alasan tersebut untuk mencari simpati daripada pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang menjalankan serbuan.
Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat, berkata bahawa semasa pemeriksaan, mereka mendapati wanita berusia 46 tahun itu akan bertunang dengan lelaki yang akan berkahwin untuk kali ketiga pada bulan April ini.
Beliau mengesahkan bahawa lapan anggota Unit Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Jasin (PAIDJ) dan Ibu Pejabat JAIM terlibat dalam operasi tersebut pada kira-kira jam 3.20 pagi pada hari Ahad yang lalu.
"Anggota penguat kuasa terpaksa menunggu 15 minit sebelum pintu dibuka oleh seorang wanita. Ketika itu didapati lampu di bilik hadapan rumah teres itu masih bernyala.
"Pemeriksaan lanjut menemui dua lelaki iaitu anak wanita itu berusia 16 tahun dan seorang duda di atas katil dalam bilik hadapan serta seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di bilik belakang.
"Ketika ditanya anggota unit beruniform itu memberi alasan rumahnya tiada bekalan air dan terpaksa bermalam di rumah janda terbabit yang sudah dua kali bercerai sebelum ini," katanya ketika dihubungi.
Che Sukri berkata, siasatan awal mendapati duda terbabit bercerai pada Januari lalu dan berkawan dengan anak lelaki janda itu yang dijadikan sebagai kakak angkat.
Katanya, wanita yang tidak bekerja itu mempunyai 11 anak iaitu lapan anak hasil perkahwinan pertama dan tiga anak dengan suami kedua serta pernah ditangkap atas kesalahan berkhalwat dengan lelaki lain, dua tahun lalu.
"Pemeriksaan lanjut mendapati mereka bersekedudukan sejak setahun lalu dan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman.
"Sementara itu, anak wanita itu disiasat mengikut Seksyen 34 Enakmen sama kerana bersubahat," katanya.
Beliau berkata, kejayaan operasi itu hasil kerjasama orang awam dan ahli Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) yang menyalurkan maklumat dan membantu pihak JAIM mengekang aktiviti tidak bermoral dan maksiat.
SUMBER : HARIAN METRO
0 Comments