"Saya akui saya insan yang lemah dan bodoh apabila hanyut dalam situasi (gangguan rumah tangga) ini."
Demikian kata wanita yang dikaitkan dengan pergolakan rumah tangga pelakon, Hafidz Roshdi, 29, iaitu Athira Yuhada dalam satu hantaran di Instagram, malam tadi.
Athira berkata, dia memohon maaf dengan isteri Hafidz iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri dan dua anak mereka, Humairah dan Umar.
"Assalamualaikum, saya Athira Yuhada. Saya dengan hati terbuka ingin memohon maaf kepada Shuhada, Humairah & Umar.
"Apa yang saya lakukan ini sangat mementingkan diri sendiri. Selepas Hafidz cuba menghubungi saya beberapa kali sejak sembilan tahun lalu, saya sedaya-upaya cuba mengelak.
"Namun, akhirnya perkara ini berlaku kerana mengetahui keadaan kesihatan mentalnya yang membuatkan saya simpati dan ingin menyokong apa yang dilaluinya," tulisnya.
Athira juga menegaskan hubungannya dengan pelakon itu sudah lama berakhir.
"Saya sudah lama tidak berhubung dengan dia dan tidak akan berlaku lagi. Saya dengan rendah diri ingin sekali lagi memohon maaf kepada Shuhada, Humairah dan Umar," katanya.
Terdahulu, identiti 'penyondol' yang dikaitkan dengan pergolakan rumah tangga Hafidz terbongkar menerusi satu hantaran yang tular di media sosial.
Hantaran yang tular itu memaparkan tangkap layar Hafidz berbalas mesej dengan wanita dikenali Athira Yuhada itu menerusi WhatsApp.
Ia turut memaparkan gambar wanita terbabit yang didakwa 'penyondol' atau pengacau rumah tangga orang itu.
Sumber :Harian Metro
0 Comments