Ticker

6/recent/ticker-posts

Badan saya sudah rosak sebenarnya, kata DJ Lin

 


Penyiar radio Suria FM, DJ Lin mengungkapkan bahawa sejak memenangi anugerah Penyiar Radio Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada tahun 2016, hospital seolah-olah telah menjadi rumah keduanya.


DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abd Majid, yang kini berusia 47 tahun, berkata bahawa selepas memenangi anugerah tersebut, dia kehilangan suaranya selama hampir sebulan. Sejak itu, masalah kesihatan yang berterusan telah dialaminya sehingga hari ini.


Lin pada mulanya enggan mengaitkan penyakit yang dialaminya dengan elemen mistik. Namun, kesengsaraan yang telah dia alami sejak 2016 telah menjadi terlalu berat dan memaksa dia untuk mencuba rawatan Islam atas nasihat keluarga, rakan-rakan, dan penggemar.


"Saya pernah ke Singapura untuk bertemu seorang mufti bagi mengenal pasti penyakit yang saya alami. Sebelum bertemu dengan mufti berkenaan, saya sebenarnya sudah berjumpa dengan ramai perawat. 



"Kesemua mereka memberikan gambaran orang yang sama, malah sewaktu sakit teruk sekitar 2021 sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama sembilan hari, saya mendapat bayangan orang yang sama seperti diberitahu perawat.


"Ketika itu keadaan saya memang sangat teruk, saya kepanasan dan merasa seperti disalai di atas api. Saya dalam keadaan koma sehinggakan keluarga dan rakan-rakan menganjurkan majlis bacaan Yasin kerana keadaan saya pada waktu itu seperti tiada harapan lagi untuk hidup.


"Alhamdulillah, mungkin semangat saya kuat untuk terus melawan menyebabkan saya masih mampu bertahan sehingga kini. Tetapi saya tahu insan berkenaan tidak akan berdiam diri dan saya percaya dia tidak senang sebaliknya akan terus lakukan sesuatu supaya hidup saya sengsara," katanya. 


Menurut Lin,  mufti dari Singapura itu juga memberitahu yang badannya sudah rosak, sebaliknya dia hanya bertahan disebabkan semangatnya yang kuat.


"Kata mufti itu, kalau ikutkan keadaan badan saya sudah rosak dan sebenarnya sudah tidak ada lagi di dunia ini. Tapi disebabkan belum ajal dan juga semangat saya yang kuat jadi saya masih bertahan kerana individu itu mahu lihat saya mati.



"Tapi katanya lagi, saya akan sembuh dan sihat jika saya tinggalkan bidang radio. Jika saya tidak percaya, dia kata cuba tinggalkan bidang itu dan cuba bidang lain kerana insan itu tidak akan senang duduk.


"Bagaimanapun saya tidak akan sesekali tunduk atau takut, cuma saya perlu sentiasa bersedia. Apa yang saya perasan, setiap kali kajian untuk kedudukan stesen radio dilakukan awal tahun dan akhir tahun, mesti saya sakit dan berada di hospital. 


"Bagaimanapun saya tidak akan serik, saya akan tetap terus bekerja dan menaikkan lagi nama Suria FM. Saya hanya akan meninggalkan Suria FM selepas saya berasa puas dan berjaya melonjakkan nama stesen radio kami," katanya.


Sumber : HARIAN METRO

Post a Comment

0 Comments