Ticker

6/recent/ticker-posts

Berhabis Duit Sendiri Lebih RM150,000 Sepanjang Famili Duo, Rezeki Tak Berpihak Ayda Jebat Dan Fyna Jebat Jadi Juara

 


“Sepanjang lapan minggu bertanding, kos keseluruhan yang saya keluarkan sudah melebihi RM150,000. Tapi tiada rezeki kami untuk bergelar juara.”


Begitu kata Ayda Jebat, penyanyi dan pelakon terkenal, yang menjadi runner-up dalam program realiti Famili Duo TV3 yang disiarkan malam tadi dan berjaya membawa pulang RM20,000.


Bersama dengan adiknya, Fyna Jebat, mereka dikalahkan oleh duo adik-beradik, Zaki Yamani dan Yamani Abdillah.

Bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan, Ayda berterima kasih kepada peminat yang menyokong perjalanan mereka dalam program Famili Duo.


“Perjalan hingga ke konsert akhir membuatkan kami rasa gembira dan bersyukur. Semestinya kami sudah sehabis baik berhempas pulas untuk meraih gelaran juara tapi tiada rezeki.



“Kami percaya setiap aturan Allah dan pastinya ada hikmah tersembunyi. Apa yang paling penting, semua yang kami lakukan adalah untuk peminat yang selama ini tak henti menyokong,” katanya.


Mengulas mengenai kos perbelanjaan dikeluarkan saban minggu mencecah lebih RM150,000 yang tidak berbaloi, penyanyi lagu Temberang ini puas kerana dapat memberikan terbaik.


“Kapal terbang, sarkas, tapak pembinaan, konsert rock dan macam-macam lagi… Semua sudah kami tonjolkan setiap minggu. Menghitung semula kos yang saya keluarkan sendiri, secara kontra ia tidak berbaloi dari semua segi, termasuklah soal usaha, kreativiti, masa, tenaga dan sebagainya.


“Tapi saya gembira kerana sebagai penyanyi, saya puas dapat menghiburkan orang ramai. Saya sudah berikan terbaik untuk peminat. Cuma mungkin saya perlu fikirkan soal ‘practicality’.


“Apa yang penting, saya dapat berkongsi rezeki dengan pemuzik, orang belakang tabir yang menyediakan props, tetamu undangan setiap minggu, jurusolek, pereka fesyen, penata gaya, juruaudio dan ramai lagi. Itu yang paling utama kerana segala kos yang saya keluarkan adalah rezeki untuk orang lain.


“Sudah menjadi adat pertandingan, ada menang, ada yang kalah tetapi pengalaman yang ditimba tak boleh saya beli di tempat lain. Rezeki sudah tertulis setakat naib juara, Insya-Allah ada yang lebih baik selepas ini,” katanya.





Menurut Fyna pula, platform Famili Duo menjadi peluang kedua untuk dirinya kembali aktif sebagai penyanyi setelah sekian lama menyepi.


“Saya dah lama tak muncul di kaca televisyen, jadi program ini satu permulaan yang baik untuk karier saya. Kami dah berikan terbaik dan semuanya boleh dilihat dalam setiap persembahan yang kami tonjolkan.


“Saya rasa bertuah kerana mempunyai seorang kakak yang tak berhenti memberi semangat. Ayda bertungkus lumus memberikan yang terbaik untuk kami walaupun dia sibuk dan mempunyai anak kecil sampai tak cukup tidur selama lapan minggu,” kata Fyna.


Sumber : XTRA

Post a Comment

0 Comments