Penafian : Gambar sekadar hiasan
Hakim Mahkamah Sesyen telah berang hari ini kerana pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dan peguamnya tidak hadir di mahkamah ketika perbicaraan kes ditetapkan pada jam 9.30 pagi.
Hari ini, Siti Bainun meneruskan keterangannya dalam pembelaannya atas pertuduhan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Semasa prosiding bermula, Izralizam bertanya kepada pembantu peguam, Siti Zulaikha Zulkifli yang berada dalam bilik bicara mahkamah tentang keberadaan peguam Mohammad Farhan Maaruf.
"Peguam bela di mana? Semalam saya telah tetapkan pukul berapa? 9.30 pagi betul? Awak ingatkan sikit anak guam awak (Siti Bainun). Dia adalah Orang Kena Tuduh (OKT), semalam lambat, hari ini lambat," tegasnya.
Siti Zulaikha kemudian memaklumkan Siti Bainun sudah tiba di mahkamah namun dia mungkin pergi ke tandas.
Ketika itu Siti Bainun dilihat memasuki galeri awam dan hakim itu meminta Siti Bainun memasuki kandang tertuduh.
Izralizam: "OKT (Orang Kena Tuduh), kamu pergi mana tadi? Saya sudah kata semalam kes bermula pada 9.30 pagi. Kenapa kamu keluar. Sepatutnya kamu berada dalam mahkamah. Saya dah masuk, timbalan pendakwa raya dah masuk, kenapa kamu tidak boleh?
Siti Bainun: "Saya ada dekat luar. Jawab panggilan. Saya tidak dengar mahkamah sudah bermula."
Kemudian, hakim mengingatkan semua pihak supaya mematuhi masa.
Semasa prosiding hari ini, Izralizam menegaskan bahawa tiada isu yang boleh memperjudikan Siti Bainun dalam pembelaannya.
Beliau menyatakan bahawa walaupun Siti Bainun, 31, mempunyai hak untuk melantik, memilih, dan menukar peguam, penukaran peguam semasa tarikh perbicaraan ditetapkan telah mengganggu proses kes di mahkamah.
Semalam, Siti Bainun memutuskan untuk melantik semula peguam Mohammad Farhan untuk mewakilinya dalam pembelaannya selepas peguam itu dan empat peguam lain menarik diri daripada mewakili tertuduh.
Sementara itu, Izralizam menyatakan bahawa pernyataan saksi tersebut telah disediakan oleh lima peguam yang pernah mewakili Siti Bainun sebelum ini, termasuk Mohammad Farhan, dan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya mengikut prosedur yang ditetapkan.
"Saya percaya kamu (Mohammad Farhan) sebahagian daripada peguam yang sediakan pernyataan saksi-saksi itu. Jadi, tiada isu yang boleh memprejudiskan tertuduh kerana pernyataan yang dibantah pendakwaan, saya tangguh sehingga tertuduh diwakili peguam.
"Saya telah berulang kali menyatakan perkara itu kepada tertuduh (Siti Bainun) dan pada 27 Jan lepas, Siti Bainun telah selesai membaca pernyataan saksi yang tidak dibantah," kata Izralizam.
Selain itu, Izralizam memberi amaran kepada Siti Bainun bahawa mahkamah telah merekodkan wanita itu telah tiga kali melantik peguam dan meminta supaya Siti Bainun mematuhi serta menghormati arahan mahkamah itu.
Sumber: Bernama
0 Comments