Pelakon Rozita Che Wan mengecam tindakan sesetengah isteri yang meletakkan kesalahan penuh kepada pihak ketiga atau memukul tangan pada setiap kali berlaku masalah ketidaksetiaan dalam perkahwinan.
Selebriti berusia 50 tahun itu sebaliknya percaya bahawa suami juga mempunyai tanggungjawab dalam situasi yang sama.
Che Ta, sebutan mesra untuknya, mengatakan bahawa hubungan sulit dan kasih sayang tidak akan terjalin jika kedua-dua pasangan tidak memainkan peranan masing-masing.
“Saya tidak suka apabila lelaki ada hubungan dengan wanita lain, si isteri pula salahkan perempuan itu.
“Dalam hal ini, kedua-duanya salah. Suami mereka tidaklah baik sangat tetapi kenapa perlu terlalu marah kepada wanita tersebut?” katanya ketika ditemui pada majlis pelancancaran logo kedai emas, Angsa Emas Jewellery, di sini semallam.
Dalam pada itu, dia juga menegaskan tidak akan berkompromi sekiranya suaminya, Zain Saidin terbabit dalam isu tersebut.
“Kalau suami saya ada hubungan, saya tumbuk muka dia, bukannya tarik tudung perempuan itu.
“Suami yang gatal sebab jika kedua-duanya tidak sama naik, hubungan tersebut tidak akan menjadi.
“Jadi, kalau suami saya diganggu, saya akan marah Zain semula, bukannya naik hantu dengan perempuan itu,” katanya lagi.
Sementara itu, bintang drama Suri Katriana itu tidak bersetuju dengan tindakan kaum isteri yang suka berkongsi kemelut rumah tangga dalam media sosial.
Baginya, perkara tersebut diibaratkan membuka pekung di dada sendiri terutama perihal rumah tangga.
“Saya tidak bersetuju tentang aibkan suami dalam media sosial.
“Ibaratnya, tepuk air dalam dulang tetapi akhirnya tepercik pada muka sendiri.
“Lebih baik diam. Saya tabik dengan cara Mizz Nina, terus ke pejabat agama,” ujarnya.
Tidak menghala isu ini kepada mana-mana pihak, dia cuma berharap mana-mana individu berfikir panjang sebelum meluahkan sebarang hal sensitif dalam media sosial kerana bimbang mencetuskan hal lain.
“Sebagai isteri, berdosa buka aib suami kepada umum, jika marah atau hendak berpisah, terus ke pejabat agama.
“Boleh jika nak lepaskan rasa marah, tulis semua dalam media sosial kemudian padam.
“Jika luahkan dan tuju kepada seseorang, belum tentu dia baca. Tanpa sedar, luahan yang dilakukan timbulkan fitnah kepada orang lain pula.
“Kalau marah suami, kenapa hendak beri 50 juta orang tengok, marahlah dia terus,” ujarnya lagi.
Baru-baru ini, kemelut dalam rumah tangga beberapa pasangan selebriti tempatan telah menjadi topik perbualan yang hangat disebabkan oleh kewujudan pihak ketiga.
Antara pasangan selebriti tempatan yang menjadi tumpuan perhatian pada masa ini termasuklah Hafidz Roshdi, Puteri Sarah Liyana bersama Syamsul Yusof, dan Bella Astillah bersama Aliff Aziz. - KOSMO! ONLINE
0 Comments