Ticker

6/recent/ticker-posts

Kembalikan prestij produksi AJL, netizen mohon para pelawak tidak dijadikan pengacara utama

 



SAUDARA PENGARANG,


ANUGERAH Juara Lagu 37 (AJL37) berlangsung pada Ahad lalu. Pada segmen pembukaan, penonton dihidangkan dengan Lagu Untukmu yang sudah dua kali dipersembahkan pada 2009 dan 2015, setelah memenangi AJL pada 2008.


Untuk menambah baik AJL, ia seharusnya dimulakan dengan persembahan lagu-lagu yang menjadi juara pada tahun sebelumnya, digubah dengan susunan muzik baharu dan segar.


Jika penyanyi asalnya masih bertanding pada tahun ini, maka bolehlah dijemput penyanyi lain untuk menyanyikannya.


Sementara menanti keputusan diumumkan pula, produksi AJL boleh mengatur medley (aneka) lagu-lagu popular pada tahun sebelumnya sebagai selingan.


Mungkin lagu-lagu tidak layak dipertandingkan di carta mingguan Muzik-Muzik kerana sebab tertentu, tetapi tular dan popular seperti Casablanca dan Swipe boleh dipersembahkan, begitu juga lagu-lagu yang tidak berjaya memasuki separuh akhir Muzik-Muzik.


Ia boleh membuktikan bahawa AJL masih bersifat inklusif sambil meraikan lagu-lagu yang dilancarkan sepanjang setahun lalu. Sudah-sudahlah menyiarkan persembahan bersifat nostalgia 1990-an dan 2000-an.




Mungkin persembahan sebegini yang menyebabkan peminat muzik tanah air tidak boleh move on daripada irama lagu 1990-an sehingga mendorong artis-artis baharu berduyun-duyun merakam semula lagu-lagu terbaik era tersebut.


Selain itu, pengisian AJL juga boleh diperbaiki. Sementara menanti persembahan seterusnya, AJL boleh menemu bual pencipta dan penulis lirik bagi lagu yang bakal dipersembahkan seperti pernah dilakukan pada awal penganjurannya.


Jika pencipta lagu ialah penyanyi itu sendiri, temu bual ini boleh dirakam terlebih dahulu. Dari sini, penonton akan didedahkan kepada sejarah dan inspirasi di sebalik sesebuah karya.


Pastinya hal ini akan dapat memberi manfaat dan menarik minat penonton. Sudah saatnya juga produksi AJL mencari jalan menyediakan lebih daripada satu pentas untuk persembahan para ­ finalisnya. Hal ini bagi mengelakkan penonton bosan sambil menunggu persiapan persembahan ­finalis seterusnya.


Perkara ini bukan asing bagi produksi rancangan hiburan di luar negara, yang kadangkala membina pentas persembahan berasingan di luar stadium dan juga di lokasi lain serta dihubungkan secara satelit bagi menjimatkan masa.


Ia juga bakal menambah kreativiti artis yang bertanding dan tentu sahaja ‘menyelamatkan’ penonton daripada terpaksa terus mendengar celoteh bosan pengacaranya.


Pemilihan pengacara AJL juga perlulah kembali diperhalusi. Peminat sangat merindukan kehadiran pengacara berwibawa seperti Cheryl Samad, Ally Iskandar, Fedtri Yahaya, Aznil Nawawi, Alif Satar serta ramai lagi yang telah mengemudikan AJL dengan jayanya.




Mungkin sudah waktunya para pelawak tidak dijadikan pengacara utama acara sebegini. Harus diingat, AJL bukan sebuah konsert mingguan program televisyen realiti berunsurkan lawak atau nostalgia.


Justeru, TV3 perlu merenung kembali produksi AJL sebelum ia kian ditinggalkan oleh para penontonnya. Mungkin sukar untuk mendapatkan jumlah penonton seramai dahulu di era teknologi ini.


Namun, TV3 boleh menjadikan produksi AJL lebih baik dan kekal berprestij sambil memastikan legasi AJL terus hidup seperti tajuk lagu yang menjuarai edisi ke-37 ini. – UTUSAN


MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak

Post a Comment

0 Comments