"Saya terperanjat menerima maklumat tentang penemuan (penempatan haram didiami warga asing) ini," kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau menyifatkan penemuan penempatan itu sebagai suatu perkara yang besar dan serius serta tidak sepatutnya tidak berlaku di Negeri Sembilan.
Katanya, bagaimana penempatan berkenaan boleh wujud tetapi baharu dapat dikesan dan pihak berkuasa sepatutnya kenal pasti lebih awal.
"Kerajaan negeri memandang serius perkara ini. Tindakan segera perlu diambil oleh pelbagai pihak bagi memastikan tidak ada lagi penempatan seumpama ini.
"Apabila siap dengan sekolah dan ada anak-anak kecil, bermakna penempatan itu mungkin sudah lama wujud. Kita tidak mahu ada lagi perkampungan warga asing seperti ini kerana susah untuk kita bertindak atau pindahkan mereka jika dibiarkan," katanya kepada pemberita di Majlis Tahun Baharu Cina 2023 Bersama Sunrise MCL Land di Pejabat Sunrise MCL Land, Forest Height, Senawang di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan pihak berkuasa menyerbu sebuah penempatan haram yang didiami warga asing di Nilai Spring, Nilai.
Serbuan itu dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) bersama beberapa agensi lain membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, beliau tidak akan berkompromi terhadap perkara berkenaan kerana penemuan penempatan haram seperti ini boleh menjejaskan keselamatan negeri dan rakyat.
"Saya akan panggil semua pihak yang berkaitan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri pada waktu terdekat.
"Kita akan minta pihak berkenaan melihat perkara ini supaya perkara seperti ini tidak berulang pada masa depan. Soal keselamatan negeri dan rakyat kita tidak boleh berkompromi," katanya.
Katanya, pihaknya juga akan mendapatkan maklumat mengenai status tanah penempatan terbabit daripada pihak berkuasa berkaitan.
"Setakat ini tidak pasti status tanah penempatan itu. Saya kena semak dengan pihak berkaitan ," katanya.
Sumber : Harian Metro
0 Comments