Walaupun sudah tiga tahun berlalu sejak pemergian Allahyarham Abam Bocey, pelawak Fad mengaku masih terkena dengan kehilangan sahabat karibnya.
Fad menyatakan bahawa mereka telah mengalami banyak kisah suka dan duka selama lapan tahun mereka bersama-sama dengan Allahyarham, dan ia tidak dapat dilupakan.
"Orang boleh bercakap macam-macam seperti saya sengaja menangis kerana menganggap pemergiannya sudah lama berlalu. Hakikatnya orang tak tahu apa yang saya lalui bersama arwah.
"Tempoh lapan tahun perjalanan kami begitu berharga. Kami bermula dari tiada apa-apa sehinggalah kami berjaya mencipta nama bersama.
"Apa yang saya kongsi di TikTok baru-baru ini, itulah yang saya rasa. Masa di Maharaja Lawak Mega pun, orang kata saya sengaja nak simpati, menangis atas pentas tapi orang tak faham.
"Sepanjang lapan tahun, setiap tiga bulan hari-hari mengadap dia, tapi bila sekarang naik pentas hanya ada saya dan Achey, itu yang buat kami terasa. Orang hanya nampak tiga minit kami di atas pentas,"katanya.
Menurut Fad, keakraban dengan Allahyarham sukar untuk diceritakan kerana mereka saling berkongsi masalah yang dilalui bersama-sama.
"Orang luar tak tahu sejauh mana hubungan akrab antara kami bertiga. Bayangkan kami sampai tahap susah dalam keluarga pun kami kongsi. Saya tahu masalah Abam, Achey dan begitu juga mereka.
"Walaupun tempoh tiga tahun pemergian arwah boleh dikatakan sudah lama, tapi pada saya ia masih baru," katanya.
Untuk rekod, Abam, yang sebenarnya bernama Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, telah meninggal dunia di rumahnya di Gombak pada 9 Februari 2020 disebabkan oleh demam panas.
SUMBER : HARIAN METRO
0 Comments