Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menyeru pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menjalankan tugas mereka tanpa prejudis, tanpa sifat seksis terhadap wanita dan tanpa menilai seseorang melalui pemakaian mereka.
Beliau berkata sedemikian susulan isu seorang wanita tidak dibenarkan masuk ke sebuah balai polis kerana dinyatakan bahawa individu terbabit tidak berpakaian sopan.
Menurutnya, beliau mengikuti perkembangan isu tersebut selain meneliti kenyataan Ketua Polis Negara (KPN) dan juga kenyataan-kenyataan lain berkaitan dengan isu terbabit.
"Rata-rata yang hadir ke balai polis untuk membuat laporan polis adalah rakyat yang memerlukan bantuan. Pakaian yang dipakai dan penampilan mereka sepatutnya tidak menjadi isu.
"PDRM perlu melatih anggota dan pegawai mereka untuk bersedia menerima kehadiran rakyat waima pakaian dan penampilan mereka," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, rakyat tidak hadir ke balai polis jika tiada sesuatu yang mendesak dan prinsip 'Kesopanan dan Kesusilaan' yang disebut oleh KPN sepatutnya perlu dipraktikkan juga oleh anggota dan pegawai polis yang menerima laporan dengan profesional, sentiasa tenang dan sedia berkhidmat untuk rakyat.
"Ia termasuklah menerima laporan daripada rakyat yang terdesak tidak kira apa jua penampilan mereka pada ketika itu. Pilih kasih dan sikap seksis tidak perlu ada pada anggota dan pegawai polis.
"Saya berharap agar perkara sebegini tidak berlaku lagi. Semua rakyat perlu diberikan akses untuk masuk ke balai polis untuk membuat laporan polis tanpa perlu dihakimi penampilan mereka.
"Tugas PDRM adalah untuk menjaga keamanan dan keselamatan, bukan menjadi polis moral kepada rakyat," jelas beliau lagi.
Sumber : Sinar Harian
0 Comments