Ticker

6/recent/ticker-posts

Petempatan warga asing yang diserbu pihak berkuasa di Nilai Spring bukan haram, kata Migrant Care

 


Sebuah NGO hak migran menafikan petempatan warga asing yang diserbu pihak berkuasa di Nilai Spring, Negeri Sembilan, minggu lalu adalah petempatan haram, seperti didakwa Jabatan Imigresen.


Menurut Migrant Care yang berpangkalan di Jakarta, rumah dan binaan kayu lain, termasuk sekolah sementara, didirikan di kawasan terpencil yang ada kaitan dengan majikan yang mengambil kumpulan asal pekerja Indonesia bagi perlombongan pasir di kawasan itu, kira-kira sembilan tahun lalu.


Sejak itu, bilangan yang tinggal di situ bertambah, termasuk warga emas, wanita dan kanak-kanak, merangkumi 67 orang - termasuk 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan - yang ditahan dalam serbuan pada 1 Februari lalu.


Mereka kini ditahan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng.


Kenyataan Migrant Care itu sebagai respons kepada kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud bahawa penemuan binaan dan sekolah sementara menunjukkan warga asing yang tinggal di situ tidak berniat untuk pulang ke negara asal.



Menyangkal perkara itu, Migrant Care berkata semua wanita dan kanak-kanak, serta majoriti lelaki yang tinggal di situ, telah membuat persiapan untuk pulang ke Indonesia, termasuk memberikan pendidikan kepada kanak-kanak sebagai persediaan untuk mereka masuk ke sistem persekolahan Indonesia.


Mereka juga mendapat pas lawatan sementara oleh pihak Indonesia yang sah selama setahun.


'Serbuan ikut prosedur'


Mengulas laporan Malaysiakini yang memetik Komisi Nasional Hak Asasi Manusia Indonesia (Komnas HAM) yang mengecam serbuan itu, Khairul Dzaimee hari ini menegaskan serbuan yang melibatkan pelbagai agensi itu dibuat selepas pemantauan selama sebulan, ekoran aduan orang awam.


"Operasi yang dilaksanakan oleh pihak jabatan imigresen ini juga adalah teratur dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.


Dia menegaskan mereka yang ditahan telah melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.


"Berkenaan aspek kebajikan tahanan di depot-depot tahanan imigresen, jabatan imigresen sentiasa komited memastikan kesemua aspek kebajikan tahanan sentiasa terjaga dengan mematuhi piawaian yang ditetapkan termasuk kebajikan kepada tahanan wanita dan kanak-kanak.


"Jabatan imigresen sentiasa memastikan aspek keselamatan dan kebajikan warga asing khususnya kanak-kanak sentiasa dilindungi," katanya lagi.



Khairul Dzaimee menjawab kritikan oleh Komnas HAM berkenaan penangkapan wanita dan kanak-kanak, termasuk bayi berusia dua bulan, ketika serbuan itu.


Mereka membangkitkan prinsip yang dinyatakan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), yang dipersetujui Indonesia dan Malaysia.


Kenyataan itu menyuarakan sentimen sama seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Rahmat Mohamad yang menegaskan Malaysia bertanggungjawab untuk bertindak sejajar dengan CRC bagi melindungi kepentingan kanak-kanak.


Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata perkara itu turut dibangkitkan dalam perbincangan antara Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Ketenagakerjaan Indonesia Ida Fauziyah dan Menteri Hak Asasi Manusia Indonesia Yasonna Laoly, baru-baru ini.


'Dihantar pulang tak lama lagi'


Ketika dihubungi, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono mengesahkan dia telah bertemu dengan warga asing yang ditahan hari ini dan meminta proses penghantaran pulang dibuat secepat mungkin, dengan semua kos ditanggung Indonesia.


"Mereka dalam keadaan baik tetapi menangis ketika berjumpa saya," katanya kepada Malaysiakini.


Hermono turut berkata beberapa pekerja - kebanyakannya dari Nusa Tenggara Timur - mendakwa gaji mereka masih tidak dibayar oleh majikan.


"Tolong jangan ambil tindakan terhadap warga asing tanpa dokumen saja, ambil tindakan juga kepada majikan.


"Usaha menegakkan undang-undang perlu saksama," katanya.


Dia juga berkata para pekerja meninggalkan barang milik mereka di petempatan itu, yang telah pun dirobohkan.


Mengulas perkara itu, Wakil Migrant Care Alex Ong berkata pihak berkuasa sepatutnya hanya merobohkan petempatan itu setelah warga asing yang tinggal di situ didapati bersalah.


"Dalam kes ini, kami diberitahu kawasan itu merupakan 'kongsi' atau perumahan untuk pekerja.



"Ia tidak sepatutnya dirobohkan bersama-sama barang milik pekerja ketika mereka ditahan.


"Rampasan barang milik warga asing, termasuk wang, perlu dibuat secara telus," katanya lagi.


Menurut undang-undang tenaga kerja, majika perlu menyediakan tempat tinggal untuk pekerja asing yang memenuhi piawaian keselamatan minimum, bukan seperti tempat tinggal sementara yang sering didapati berdekatan dengan tapak projek.

Sumber : MALAYSIAKINI

Post a Comment

0 Comments