Ticker

6/recent/ticker-posts

Saya tangguh hasrat miliki anak tahun ni sebab nak sertai program lumba kereta, kata Reen Rahim

 


Pelakon, Reen Rahim terpaksa menunda hasratnya untuk memiliki anak pada tahun ini kerana ingin menyertai program perlumbaan kereta.


Melalui perkongsian di laman Instagram, Reen atau nama penuh Noreen Ashikin Abdul Rahim, yang berusia 35 tahun menyatakan bahawa dia telah lama mempunyai keinginan untuk menyertai program perlumbaan kereta selepas melihat ramai rakan artis menyertai acara Toyota Gazoo Racing (TGR) sebelum ini.


"Sebenarnya ada kisah di sebalik semua ini. Sama ada mahu anak atau lumba kereta?


"Dari dulu memang saya suka tengok kawan-kawan yang terpilih menyertai program ini.


"Nampak gempak sebab bukan senang untuk dapat berlumba di sini. Lumba betul-betul bukan main-main sampai terdetik dalam hati seronok kalau dapat sertai," tulisnya.



Dalam perkongsiannya lagi, Reen berkata, tawaran menyertai program perlumbaan kereta itu diterima sejak tahun lalu iaitu tiga hari sebelum dia melangsungkan majlis pernikahan.


"Tiba-tiba tahun lalu, saya dapat tawaran dari pihak penganjur tiga hari sebelum bernikah.


"Ketika itu, saya ragu-ragu untuk membuat keputusan.


"Saya sudahlah kahwin lambat, kalau sertai memang susah untuk ada anak walaupun pihak mereka tidak keluarkan syarat.


"Tapi kalau fikir logik, memang tidaklah saya akan mengandung sebab kena berlumba sehingga Oktober. Jadi, saya ketepikan keinginan dan terus tolak tawaran terbabit," tulisnya.


Bagaimanapun, kata Reen, dia juga diberi peluang pihak TGR untuk mempertimbangkan tawaran mereka walaupun sudah menolaknya.


"Saya berdoa dalam hati kerana rungsing sama ada tawaran ini adalah ujian atau rezeki dan ikutkan sahaja aturan Allah.


"Selang dua atau tiga hari, pihak mereka menghubungi saya untuk mengesahkan sama ada saya benar-benar mahu tolak tawaran.


"Saya minta masa selama dua ke tiga hari untuk berfikir dan berbincang dengan suami," tulisnya.



Selain suami, Ahmad Nur Hazim, Reen turut meminta pandangan daripada ibunya berhubung penyertaan dalam acara perlumbaan kereta terbabit.


"Suami pun rungsing untuk membuat keputusan walaupun sering menyokong apa yang saya lakukan. Saya juga minta pandangan umi (ibu).


"Dia suka saya buat benda lasak, lebih-lebih lagi saya jenis pemalas dan memandu secara sangat perlahan sebab takut. Dia mahu saya melawan ketakutan itu," tulisnya.


Selepas  membuat pertimbangan, Reen berkata, dia nekad untuk menerima tawaran untuk menyertai secara rasmi program perlumbaan kereta untuk musim keenam itu.


"Saya yakin ini rezeki yang Allah susun dan alhamdulillah tidak sangka dapat tawaran sebegini,"tulisnya.


Apapun, kata Reen dia meminta semua peminat dan pengikutnya mendoakan semoga dirinya dikurniakan cahaya mata pada tahun depan.


"Doakan tahun depan, saya dapat anak kembar terus,"tulisnya.


Untuk rekod, Reen selamat mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin pada 24 Disember 2022.


SUMBER : HARIAN METRO

Post a Comment

0 Comments