Pengarah Syamsul Yusof telah mengemukakan permohonan di mahkamah untuk mencelah dalam petisyen perintah injunksi antara isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana, yang berusia 38 tahun, dan isteri keduanya, Faghira Fatini atau Ira Kazar, yang berusia 27 tahun.
Permohonan itu difailkan pada 21 Februari lalu melalui peguam Azahir Nasir dari Tetuan Azahir Surianie & Azizan Ariff yang mewakili Syamsul, pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.
Dalam afidavit sokongan, Syamsul, atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof, yang berusia 39 tahun, mendakwa bahawa peguamnya menasihatinya untuk campur tangan dan menjadi defendan dalam tuntutan yang dikemukakan oleh Puteri Sarah kepada Ira Kazar.
Syamsul menyatakan bahawa tuntutan Puteri Sarah terhadap Ira adalah berkaitan dengan dirinya dan jika tuntutan itu dibenarkan, ia akan memberi kesan kepada perkahwinannya dan hubungannya dengan keluarga Ira.
Syamsul juga mengatakan bahawa perintah injunksi tidak akan menghalang hubungannya dengan Ira Kazar. Oleh itu, dia mengemukakan permohonan tersebut untuk memberikan pencerahan kepada mahkamah dan menghalang perintah injunksi daripada dikuatkuasakan.
Ia berikutan dia dan Ira sudah berkahwin serta menjaga keharmonian perkahwinannya dengan kedua-dua isterinya.
Sebelum ini, Ira Kazar, bersama-sama dengan bapanya dan kakaknya, perlu menjawab kepada Mahkamah Sesyen berhubung tindakan mengingkari perintah injunksi yang dikeluarkan terhadap mereka pada Julai tahun lalu.
Ini susulan keputusan mahkamah yang membenarkan permohonan Puteri Sarah untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ira, kakaknya, Yasmin dan bapanya, Kazaruddin Saisi.
Perintah injunksi yang dikeluarkan kepada Puteri Sarah pada 4 Julai tahun lalu antara lainnya menghalang Ira atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengannya daripada menjejaskan ketenteraman dan kedamaian Puteri Sarah dan keluarganya serta keluarga mentuanya termasuk suaminya.
Ira juga dihalang daripada mendekati atau berada dalam jarak 500 meter daripada Puteri Sarah, keluarganya dan keluarga mentuanya, suaminya atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengannya (Puteri Sarah).
SUMBER : HARIAN METRO
0 Comments