Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini selepas memberi keterangan di ibu pejabat badan siasatan itu di Kuala Lumpur.
Ketua Penerangan BERSATU Nasional, Datuk Razali Idris mengesahkan perkara tersebut dan beliau juga menjangka bekas Perdana Menteri itu akan didakwa di mahkamah esok oleh SPRM.
"Muhyiddin sudah diminta hadir ke ibu pejabat SPRM dan kita jangka beliau akan ditahan hari ini dan didakwa di mahkamah, esok.
"Tindakan ini dilakukan sehari sebelum Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU dan ia dianggap tidak berperikemanusiaan," katanya kepada media di hadapan ibu pejabat SPRM, sebentar tadi.
Beliau enggan memberikan komen apabila ditanya sama ada pemimpin BERSATU yang lain akan ditahan oleh SPRM, tetapi mengakui kemungkinan berlaku. Siasatan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkaitan dengan dakwaan salahguna dana kerajaan dalam Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Pada 18 Februari lalu, Muhyiddin mengesahkan beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Jana Wibawa sebagai saksi dan bukannya suspek.
Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan bekas Perdana Menteri itu adalah antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.
Pada 21 Februari lalu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.
Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.
Dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama.
Pada 28 Februari lalu, Adam Radlan didakwa kali ketiga berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.
Terdahulu, pada 22 Februari lalu, seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung Program Wibawa bernilai RM12.875 juta, sejak dua tahun lalu.
Program Jana Wibawa dilaksanakan semasa pandemik COVID-19, dan ia kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada tahun 1993.
Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.
Sumber : Berita Harian Online
0 Comments