Seorang lelaki yang mengenali seorang ibu tunggal melalui aplikasi WeChat sekitar tujuh bulan yang lalu telah ditangkap atas tuduhan berkhawat di rumah wanita tersebut di Taman Jelutong pada hari ini.
Lelaki berusia 27 tahun yang bekerja sebagai mekanik memberikan alasan bahawa dia terpaksa bermalam di rumah wanita berusia 49 tahun itu kerana kemudahan perjalanan dari tempat kerjanya di kawasan tersebut.
Pasangan itu telah ditangkap atas tuduhan berkhawat oleh pasukan penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) pada 1.42 pagi hari ini.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad mengatakan bahawa mereka melakukan pemeriksaan di rumah wanita tersebut setelah menerima aduan awam. Beliau berkata bahawa selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dilakukan.
"Siasatan kemudian menemui wanita terbabit dalam rumah itu dan mereka gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.
"Pemeriksaan juga menemui seorang remaja perempuan dalam bilik berasingan di rumah berkenaan yang juga anak kepada wanita terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Anwar Sharifudin berkata, lelaki itu turut memberi alasan yang mereka akan berkahwin pada 18 Mac ini, namun belum membuat sebarang permohonan bernikah.
Katanya, wanita itu pula tidak bekerja dan tinggal bersama anaknya selepas kematian suami.
"Mereka ditahan untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Balai Polis Kulim untuk dibuat laporan tangkapan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.
Sumber : Harian Metro
0 Comments