Seorang pemuda yang bermula dengan berkebun di kawasan tanah terbiar di halaman rumahnya, kini berjaya mengusahakan ladang sayur seluas 12 hektar di Tanah Tinggi Lojing selama tujuh tahun.
Chung Chia Khang, 28 tahun atau lebih mesra dipanggil Ah Kai telah menanam lebih daripada 100,000 tanaman seperti kubis, jagung, tomato, daun sup, daun bawang, ketumbar, lobak putih, kacang dan buah tembikai wangi.
Menurut Ah Kai, setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ibunya Suzie Chua, 57 tahun, telah mendaftar untuk mengikuti kursus pertanian yang diadakan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
Pada peringkat awal, Ah Kai hanya mengusahakan 1,000 polibeg lada solok di halaman rumahnya di Kampung Keroh, Kuala Krai.
“Saya bermula secara kecil-kecilan dan bersyukur apabila mendapat bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) daripada Risda sebanyak RM10,000 untuk mengembangkan kawasan pertanian.
“Berkat kegigihan berbakti kepada tanah, memberikan pulangan lumayan sehingga RM400,000 dalam sebulan,” katanya ketika ditemui di ladangnya di Tanah Tinggi Lojing di sini semalam.
Ah Kai menambah, sayur-sayuran yang ditanam menggunakan kaedah fertigasi sememangnya berpotensi untuk dikomersialkan dan memberi pulangan lumayan termasuklah untuk eksport ke negara luar.
Katanya, ketika ini, dia berjaya menuai hasil sayur-sayuran 40 hingga 70 tan sebulan.
“Harga pasaran sayur-sayuran untuk tahun ini baik apabila meningkat lebih 50 peratus berbanding setahun atau dua tahun lepas.
“Sayur-sayuran di ladang ini akan dihantar kepada pemborong di Kampung Raja, Cameron Highlands sebelum dieksport ke Singapura,” katanya.
Menurutnya, ketika ini juga sebanyak 40,000 kobis yang diusahakan di tanah 1.2 hektar juga telah mengeluarkan hasil.
Katanya, dia berjaya menuai hasil kubis hampir satu tan setiap hari.
“Anak muda mempunyai banyak peluang jika ada motivasi dalam diri kerana bidang pertanian kini adalah satu perniagaan dan kerjaya yang baik.
Sumber : Kosmo! Online
0 Comments