Wak Doyok, seorang personaliti fesyen dan pelakon terkenal, mengutamakan ibunya dalam segala hal, termasuk dalam mencari pasangan hidupnya.
Selepas mengalami beberapa kegagalan dalam hubungan cinta, Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor, 41, menggunakan peluang yang ada untuk melayan dan menjaga ibunya yang sudah tua.
"Syarat utama adalah seseorang yang boleh tinggal bersama ibu saya kerana saya adalah anak bongsu, jadi adalah tanggungjawab untuk menjaga ibu. Oleh itu, calon isteri perlu bersetuju dengan syarat itu.
"Malah, sebagai seorang ibu pastinya dia mempunyai naluri untuk memilih bagi pihak saya. Ada beberapa wanita yang dibawa berjumpa ibu namun tidak berjaya untuk membawa hubungan ke fasa seterusnya.
"Saya juga mementingkan aspek yang mana calon isteri itu mahir memasak. Kebanyakannya sibuk dan lebih suka makan di luar, saya memang macam orang lama suka air tangan orang rumah," katanya.
Bagi Wak Doyok, kekasih dan isteri boleh dicari pada bila-bila masa, namun ibu hanya satu.
"Matlamat saya untuk keluarga dan selagi ibu ada, selagi itu saya akan terus menjaga dia.
"Apatah lagi, ibu saya sudah berusia 80-an, jadi saya menggunakan kesempatan ini untuk membalas balik jasanya. Jadi, saya tidak tertekan atau terburu-buru untuk berkahwin," katanya.
Wak Doyok berkongsi mengenai perancangan mendirikan rumah tangga ketika ditemui pada acara Laskar Raya 2023 yang diadakan di sebuah premis acara di sini, baru-baru ini.
Dalam acara berkenaan, Wak Doyok turut diumumkan sebagai duta bagi koleksi baju melayu raya Starvilion.
Sumber : Harian Metro
0 Comments