Kegagalan Datuk Ayu Puteh memenuhi syarat kontrak penerbitan drama bersiri Di Sebalik Dia sebanyak 28 episod telah menyebabkan pihak Awesome TV memfailkan tuntutan caj kelewatan penerimaan bahan siaran dengan jumlah RM162,192,000 kepada Pencil Pictures Sdn Bhd, syarikat produksinya.
Menurut kenyataan media dari Awesome TV, Pencil Pictures hanya menyiapkan 26 episod daripada 28 episod yang dijanjikan dalam kontrak bersama stesen televisyen tersebut.
"Dua lagi episod gagal disempurnakan pihak Datuk Ayu dan kesemua 26 episod yang disiapkan dihantar lewat kepada pihak Awesome TV dan tidak mengikut tarikh yang dipersetujui.
"Ketidakpatuhan kepada syarat-syarat kontrak ini telah menimbulkan pelbagai masalah kepada Awesome TV yang terpaksa membuat penjadualan semula program secara drastik.
"Kelewatan itu juga mengakibatkan pelbagai komplikasi dengan pihak pengiklan Awesome TV," kata kenyataan tersebut.
Menerusi temu bual bersama mStar pada 9 Mac lalu, Datuk Ayu Puteh mengakui bahawa syarikat produksinya, Pencil Pictures Sdn Bhd, masih belum menerima bayaran sebanyak RM704,000 daripada Awesome TV selepas drama bersiri Di Sebalik Dia disiarkan pada bulan September tahun lalu.
Ayu mengklaim bahawa dia telah menghantar invois bagi menuntut bayaran tersebut selepas lima bulan drama itu ditayangkan, tetapi tiada respons daripada Awesome TV. Sebaliknya, syarikat produksi menerima notis penamatan kontrak serta tuntutan sebanyak RM162,192,000 atas alasan penghantaran bahan siaran yang lewat pada Januari lalu.
Namun, Ayu menjelaskan bahawa drama tersebut sepatutnya dihasilkan sebanyak 28 episod, tetapi dikurangkan kepada 26 episod bagi menjaga kualiti kandungannya.
Ia telah disiarkan sehingga tamat tanpa sebarang masalah dan tiada bantahan daripada stesen televisyen itu.
Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut menjelaskan Awesome TV tidak mempunyai pilihan lain selain daripada mengambil tindakan undang-undang terhadap Pencil Pictures Sdn Bhd mengikut terma kontrak yang dipersetujui kedua belah pihak.
Pihak stesen televisyen itu juga turut menyerahkan perkara tersebut sepenuhnya kepada proses perundangan untuk tindakan selanjutnya.
Sumber : mStar Online
0 Comments