Ticker

6/recent/ticker-posts

Hakim arah Puteri Sarah, Syamsul dirujuk kepada JKP

 


Pasangan selebriti Puteri Sarah Liyana dan suaminya, pengarah filem Syamsul Yusof masih belum menyelesaikan isu rumah tangga mereka. Mahkamah Rendah Syariah hari ini mengarahkan mereka untuk dirujuk kepada Jawatan Kuasa Pendamai (JKP).


Hakim Syarie, Akmalludin Ilyas, memerintahkan agar Syamsul atau Mohd Syamsul Mohd Yusof, 39, dan Puteri Sarah atau Puteri Sarah Liyana Kamaruddin, 38, untuk melantik wakil masing-masing dalam JKP.


"Mahkamah tidak terikat kepada apa-apa maklumat. Saya mendapati tiada keadaan luar biasa untuk membolehkan permohonan (pihak pembelaan Puteri Sarah) supaya tidak melalui proses JKP sebaliknya terus kepada hakam keluarga.


"Mahkamah akan menggunakan bidang kuasa untuk dirujuk kepada JKP.


"Saya berharap kedua-dua pihak memberi inisiatif kepada JKP kerana ia adalah laporan lengkap untuk diputuskan mahkamah," katanya.


Hakam adalah satu kaedah dalam sistem perundangan Islam di mana seorang hakim diberi kuasa untuk memutuskan sama ada sesebuah pertikaian akan diselesaikan melalui cara perdamaian atau perceraian.




Pada 16 Januari lalu, Puteri Sarah telah memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.


Semasa prosiding, peguam syarie Syamsul, Roshdan Sujak, telah mengesahkan permohonan cerai tersebut, namun anak guam tidak bersetuju.


"Kami berhasrat untuk menjawab permohonan dengan alasan-alasan sekiranya dibenarkan mahkamah," katanya.


Susulan itu, peguam syarie Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader, memohon mahkamah menggunakan Seksyen 47 (15) (e) akta sama bagi melantik hakam keluarga atas alasan wujud keadaan luar biasa.


"Anak guam mengatakan tiada prospek untuk menyelamatkan perkahwinan, mereka sudah lama tinggal berasingan, tiada komunikasi dan tiada membawa maafaat (kalau masih berkahwin).


"Kita mohon satu pengakhiran, terus pakai hakam keluarga. Hakim ada kuasa untuk berbuat demikian dan wakil hakam keluarga hadir di mahkamah," katanya.




Bagaimanapun, Roshdan berkata, JKP perlu ditubuhkan sebelum melalui proses hakam dan ianya dua perkara berbeza.


"JKP akan dipengerusikan pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).


Ia tidak akan dikawal oleh sesiapa melainkan wakil (JAWI) itu sendiri.


"Tiada keadaan luar biasa untuk tidak melalui proses JKP dan terus kepada proses hakam kerana masih ada 'sinar' (harapan) dalam hubungan mereka, jadi kita tidak 'melompat' terus kepada JKP," katanya.


Sumber : Berita Harian Online

Post a Comment

0 Comments