Ticker

6/recent/ticker-posts

Janji tinggal janji, 41 mangsa pelabur Lavida Coin tuntut RM59 juta daripada Vida

 


Seramai 41 pelabur Lavida Coin milik Datuk Seri Vida telah mengemukakan tuntutan kerugian berjumlah RM59 juta terhadap usahawan kosmetik tersebut pada Jumaat. 


Tuntutan tersebut dibuat selepas mendakwa wang pelaburan serta keuntungan yang dijanjikan tidak dipulangkan kepada mereka sejak 2018. Mereka telah memfailkan writ saman terhadap Vida atau Hasmiza Othman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersama tiga lagi rakan kongsinya yang menjalankan Lavida Coin.


Peguam yang mewakili kesemua plaintif iaitu Mohammad Izwan Azmi dari Tetuan Izwan Mazniza Kamil & Associates telah menyatakan bahawa writ saman dan pernyataan tuntutan telah diserahkan kepada Vida selaku defendan pertama pada 15 Disember 2022 di Empire Beauty DSV, Angsana Mall, Ipoh, Perak.


"Pada Ogos 2018, mangsa membuat pindahan wang ke syarikat-syarikat milik Vida dan menurut representasi oleh pihak defendan iaitu Vida dan lain-lain mendakwa Lavida Coin adalah sah dari segi undang-undang, ada kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bank Negara dan agensi lain.




"Namun menariknya, pada 29 Ogos 2019, SC mengumumkan Lavida Coin dimasukkan ke dalam senarai amaran pelanggan agar tidak membuat pelaburan.


"Sehubungan itu, jika Vida gagal membuat bayaran kemungkinan tindakan akan diteruskan termasuk muflis selain rumah dan harta di sita," katanya kepada pemberita.


Mohammad Izwan memberikan penjelasan tersebut dalam satu sidang media yang diadakan pada hari Jumaat.


Mohammad Izwan menyatakan bahawa writ saman dan pernyataan tuntutan tersebut telah diiklankan di dalam akhbar Berita Harian pada 10 Februari 2023, atas perintah mahkamah, kerana ia tidak dapat diserahkan kepada tiga defendan yang lain. Tiga defendan tersebut adalah Shuhada Ab Aziz, Mohd Kamarul Azmi, dan Noordin Sahlam.


"Tarikh pengurusan kes juga telah ditetapkan mahkamah iaitu 4 November 2022, 17 November 2022, 19 November 2022, 4 Januari 2023, 18 Januari 2023, 14 Februari 2023 dan 27 Februari 2023 lalu.




"Bagaimanapun kesemua pihak defendan gagal menghadirkan diri pada kesemua tarikh yang dinyatakan," katanya.


Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 20 Mac ini untuk memaklumkan status kes terikini selain memfailkan permohonan taksiran kos oleh pihak mahkamah.


Seorang mangsa iaitu Norzainin Zainuddin, 53, mengakui bahawa dia telah membuat pelaburan dalam Lavida Coin kerana percaya dengan jenama yang dimiliki oleh Datuk Seri Vida. Dia juga telah mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM9,900 sebagai pelaburan dalam projek tersebut.


Norzainin menyatakan bahawa ketika dia menyerahkan wang tersebut, dia telah menandatangani dokumen perjanjian di hadapan Vida dan meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada usahawan tersebut.


"Saya ada bukti dokumen perjanjian bersama yang ditandatangani di hadapan Vida di Ipoh. Saya percaya dengannya tetapi harapan mendapat pulangan seperti dijanjikan hanya tinggal janji.


"Sudah lima tahun kami menunggu tapi tiada apa yang ditunaikan malah semua staf mengelak untuk jawab tentang pelaburan itu dan tidak tahu di mana Vida berada," katanya.




Manakala seorang lagi mangsa iaitu Yuni Astuti Sutrisno, 42, mendakwa, dia melaburkan wang sebanyak RM61,380 dan masih berharap agar mendapat kembali wang tersebut.


Kata Yuni, wang tersebut sangat besar nilainya apatah lagi ketika ini dia tidak bekerja kerana menjaga suami yang juga Orang Kurang Upaya (OKU).


"Saya perlukan duit itu balik, saya tak dapat kerja memandangkan suami OKU. Saya harap ada jalan untuk mendapatkan kembali wang tersebut," ujarnya.


Sumber : mStar Online

Post a Comment

0 Comments