Pelakon cilik, Puteri Rafasya, 12, mengalami kemalangan yang semakin serius semasa berada di lokasi penggambaran drama Jaga Aku Selamanya. Beliau terpaksa dimasukkan ke wad pediatrik Hospital Tunku Azizah (HTA), awal pagi tadi.
Ibunya, Fatin Aliza Salmi, 33, berkongsi insiden itu dan menerangkan bahawa Puteri telah dikejarkan dengan ambulans dan ditempatkan di zon kuning Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 3 pagi selepas mengalami kebas kaki dan kencing yang keluar secara tidak sedar.
"Sekarang, Puteri ada masalah dengan pundi kencing dan kakinya kebas. Bila kaki kebas memang situasi agak merisaukan sebenarnya.
"Disebabkan itu, Puteri perlu dikejarkan ke zon kuning pada awalnya. Ia juga berkait rapat dengan saraf.
"Selepas doktor menjalankan pemeriksaan, Puteri akhirnya perlu ditahan di wad pediatrik HTA sehingga keadaannya beransur pulih.
"Keadaan Puteri agak teruk juga sebab masih perlu memakai lampin pakai buang," katanya kepada BH Online.
Melihatkan keadaan anaknya yang semakin membimbangkan, Fatin berkata, dia sudah tidak tahu untuk berbuat apa-apa disebabkan pihak terbabit dilihat mengambil sikap lepas tangan berhubung kemalangan itu.
"Kalau diikutkan laporan perubatan dikeluarkan, Puteri dianggarkan sudah boleh berjalan ketika ini.
"Tapi, jangankan berjalan, berdiri pun Puteri tidak boleh. Jadi, bila keadaan dilihat semakin memburuk, saya rasa sangat tertekan dan kecewa.
"Sehingga hari ini, kami masih tidak menerima sebarang bantuan atau kata putus daripada pihak terbabit.
Saya tertanya-tanya adakah mereka perlu lepas tangan seperti ini.
"Bagaimanapun, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) ada menghubungi saya untuk mengadakan pertemuan bersama pihak produksi dan keluarga pelaku untuk membincangkan mengenai perkara ini" katanya.
Dalam masa sama, Fatin berkata, sekiranya masih tiada tindakan susulan, dia akan melancarkan tabung bantuan bagi memudahkan urusan perubatan anaknya.
"Sekiranya perkara ini masih berlanjutan dan pihak terbabit juga terus dengan keputusan berdiam diri, saya rasa mungkin perlu lancarkan tabung bantuan.
"Ia bertujuan untuk menampung kos perubatan Puteri," katanya.
Terdahulu, Puteri mengalami penderitaan apabila tidak mampu duduk dan berjalan tanpa bantuan keluarga akibat retakan tulang pinggul selepas dilaporkan terjatuh semasa penggambaran di Beranang, Selangor pada akhir bulan lalu.
Kemalangan yang menimpa Puteri berpunca daripada perbuatan seorang kanak-kanak yang tidak sepatutnya berada di lokasi penggambaran drama.
Sumber :Berita Harian Online
0 Comments