Teka-teki akhirnya terjawab apabila keluarga mengesahkan bahawa Nurul Shuhada Mat Shukri telah ditumbuk tiga kali oleh suaminya, Hafidz Roshdi, yang juga seorang pelakon selepas mereka bertengkar awal pagi tadi.
Mereka yang enggan didedahkan identitinya, mendakwa bahawa Hafidz menumbuk wajah Nurul Shuhada sehingga mengalami kecederaan.
"Ya, betul Nurul Shuhada cedera selepas ditumbuk Hafidz dalam kejadian awal pagi tadi.
"Mulanya berlaku pertengkaran dan kemudiannya, Hafidz menumbuk Nurul Shuhada sebanyak tiga kali pada bahagian muka," dakwanya.
Ahli keluarga berkata, Nurul Shuhada kemudiannya dibawa ke sebuah hospital bagi mendapatkan rawatan, malah laporan polis sudah dibuat oleh dua ahli keluarga yang menyaksikan kejadian itu.
"Selepas kejadian kami buat laporan polis dan bawa Nurul Shuhada ke hospital. Dia terpaksa menerima jahitan akibat luka pada muka.
"Kami melakukan pemeriksaan CT Scan (imbasan tomografi berkomputer) bagi memastikan tiada sebarang kecederaan dalaman. Nurul Shuhada sudah dibenarkan pulang dan tidak ditahan wad," katanya kepada BH Online.
Mengulas keadaan terkini Nurul Shuhada, ahli keluarga berkata, wanita itu masih terkejut dan perlu mengambil masa untuk rehat.
"Nurul Shuhada masih terkejut dan terkesan dengan apa yang berlaku. Sekarang Nurul Shuhada perlukan masa untuk berehat.
"Syukur keadaannya kini stabil," katanya.
Sebelum ini, Nurul Shuhada memunculkan tanda tanya apabila beliau memuat naik hantaran yang dipercayai berkaitan dengan kecederaan yang dialaminya ketika ini.
Melalui tiga hantaran yang dimuat naik dalam Instagram (IG) Story, Nurul Shuhada memberitahu peminat-peminatnya bahawa beliau kini sedang menerima rawatan di hospital.
Namun, gambar yang dimuat naik menunjukkan ibu kepada dua anak itu mengalami kecederaan pada wajah kirinya yang dibalut.
Melalui satu hantaran lain yang memuat naik gambar tangan menggenggam penumbuk dan berdarah, Nurul Shuhada menulis, "Semoga Allah ampunkan kalian berdua."
Dalam hantaran yang lain, Nurul Shuhada meluahkan perasaan marah terhadap wanita yang dipercayai menjalinkan hubungan sulit dengan bekas suaminya, Athira Yuhada.
Sumber : BH Online
0 Comments