Pelakon popular Hafidz Roshdi, 29, akan dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikiatri setelah Mahkamah Majistret mengeluarkan perintah itu.
Hakim Siti Fatimah Talib membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar, bagi pemeriksaan Hafidz mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.
Pelakon itu sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan isterinya di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya pada 2 Mac lalu.
Menurut pertuduhan, Hafidz didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, dengan cara menumbuk menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.
Pendakwaan dalam prosiding hari ini diwakili oleh Nurul Qistini manakala Hafidz diwakili oleh peguam Datuk Akbardin Abdul Kader.
Terdahulu Hafidz ditahan pada 10 Mac lalu bagi membantu siasatan dalam kejadian menumbuk isterinya ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Namun, dia dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama.
Sebelum ini media melaporkan seorang ahli keluarga Shuhada mengesahkan bahawa wanita itu menjadi mangsa keganasan rumah tangga sehingga mengalami kecederaan pada bahagian muka.
Shuhada memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam dan kes pengesahan lafaz cerai itu akan disebut pada 21 Mac ini.
Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.
Sumber : Harian Metro
0 Comments