Ticker

6/recent/ticker-posts

Saya belum sedia berhijab, takut hati tak tenang, kata Vanidah Imran

 


Vanidah Imran mengakui bahawa beliau masih belum bersedia untuk berhijab kerana bimbang hatinya akan meronta-ronta selepas mengambil keputusan untuk menutup aurat. 


Pelakon berusia 50 tahun itu memberitahu kepada Kosmo! Online bahawa dia memahami kewajipan sebagai seorang wanita Muslim untuk menutup aurat dan dia akan menuju ke arah itu (berhijab) apabila tiba waktunya nanti.



“Untuk saya berhijrah (menutup aurat), saya perlu betul-betul yakin. Saya tahu itu merupakan satu tuntutan dan wajib bagi wanita Muslim untuk menutup aurat.


“Tapi saya tidak mahu nanti kalau saya pakai (berhijab), tapi jiwa saya meronta. Itu tiada makna apa-apa. Jadi beri saya belajar dahulu dan mengikut proses sehingga saya benar-benar bersedia untuk berhijrah,” katanya.


Vanidah menambah bahawa dia percaya dengan aturan Allah SWT dan akan melakukannya (menutup aurat) apabila dirinya sudah bersedia. 


Namun, pelakon yang mesra disapa Vee itu juga mengakui bahawa dia bimbang hatinya akan terus berubah-ubah selepas melihat beberapa rakan sekeliling yang kembali berubah selepas memakai hijab.


“Saya ada kenalan yang sudah memakai hijab selama 12 tahun dan melepaskan semula hijab sebab mengaku itu bukanlah dirinya.


“Jadi saya takut terjadi pada saya. Sebelum jatuh fitnah, beri saya berubah perlahan-lahan. Sekarang apa yang saya mahu lakukan adalah cuba untuk kuatkan jiwa saya dahulu. Beri saya waktu untuk belajar apa yang saya tidak pasti,” katanya.


Dalam pada itu, Vanidah juga diberitahu rakan-rakannya yang sudah kembali kepada fitrah banyak berkongsi perasaan apabila berhijab dalam keadaan hati yang sudah bersedia.




“Ramai rakan-rakan saya yang sudah berhijrah cakap, kalau sudah sampai masa nanti, setiap kali pakai hijab saya tidak akan fikir apa-apa (ikhlas).


“Tapi bila pakai, kemudian hati rasa tidak pasti, ada perasaan mahu buka semula hijab, apa maksudnya? Nanti akan buat hati saya saya tidak tenang. Banyak lagi perkara yang perlu saya belajar. Begitu juga hukumnya,” kata Vanidah ketika ditemui Kosmo! Online di majlis tayangan perdana filem Imam di Istana Budaya, baru-baru ini.


Ketika disoal tentang tanggapan dan penerimaan peminatnya, pelakon berwajah kemelayuan itu bersyukur apabila peminatnya faham dan selalu mendoakan yang terbaik untuk dirinya supaya menjadi wanita Muslimah sejati pada masa akan datang.


“Setakat ini alhamdulillah, tidak ada lagi peminat yang meninggalkan komen-komen menyakitkan hati. Saya pun tidak pernah membalas komen yang kasar kepada mereka.


“Saya terima banyak komen yang baik-baik, mendoakan semoga saya istikamah dan juga berharap saya berhijab suatu hari nanti. Saya hanya mampu balas Insya-Allah itu pasti. Doakan saya,” katanya.


Pelakon filem Perempuan Melayu Terakhir, Vanidah Imran, mencuri perhatian ketika hadir ke majlis tayangan perdana filem Imam di Istana Budaya pada Selasa lalu dengan mengenakan hijab sambil ditemani suaminya, Arifabillah Idris.




Vanidah berkata, dia memilih untuk berhijab ketika menghadiri majlis tersebut untuk menghormati majlis dan juga bertepatan dengan tema filem Imam yang berunsurkan keagamaan.


Selain itu, Vanidah juga memegang watak Rubiah, isteri kepada Haji Syamsuri yang dilakonkan oleh Faizal Hussein dalam filem tersebut.


Pelakon hebat seperti Datuk M. Nasir, Datin Natasha Charmaine, Omar Abdullah, Datuk Rahim Razali turut membintangi filem Imam yang diarahkan oleh Mior Hashim Manap. Filem ini diadaptasi daripada novel Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain dan telah ditayangkan di pawagam sejak 2 Mac lalu.


Filem ini mengisahkan tentang perjuangan seorang imam iaitu Haji Mihad yang ingin membawa perubahan di kampungnya sendiri tetapi mendapat tentangan daripada sebahagian penduduk kampung yang seagama dan sebangsa malah saudara maranya sendiri.


Sumber : Kosmo! Online




Post a Comment

0 Comments