Ticker

6/recent/ticker-posts

Saya masih sayang Nurul Shuhada, ruang berdamai sentiasa terbuka, kata Hafidz Roshdi

 


Pelakon Hafidz Roshdi berharap dapat mengatasi masa suram yang dilaluinya hari ini dan bersedia membuka ruang perdamaian dengan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri. Hafidz hari ini menghadapi tuduhan di Mahkamah Majistret atas dakwaan kecederaan yang ditimbulkan terhadap isterinya. 


Dia mengakui bahwa ruang perdamaian dengan Nurul Shuhada tetap terbuka dan menegaskan bahwa dia masih mencintai isterinya dan akan berusaha untuk menyelamatkan perkahwinan mereka.


"Masih terbuka (ruang perdamaian), sampai bila-bila. Masih wujud rasa cinta terhadap dia.Saya akan cuba yang terbaik untuk selamatkan rumah tangga saya," katanya kepada ketika ditemui pemberita selepas selesai proses pembayaran wang ikat jamin



Terdahulu, dalam sidang media bersama peguam mewakilinya, Datuk Akberdin Abdul Kader, Hafidz berkata, tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan dituduh di mahkamah kerana mencederakan orang yang disayanginya.


"Saya adalah seorang manusia, sama seperti anda, yang inginkan kebahagiaan sehingga ke penghujungnya.


"Namun, hari ini, adalah satu episod yang paling suram dalam hidup saya. Apapun, saya reda dengan apa yang sudah ditakdirkan," katanya


Tambah Hafidz, dia menyerahkan nasibnya kepada pihak mahkamah untuk membuat pertimbangan sewajarnya.


"Saya yakin bahawa mahkamah akan membersihkan nama saya bagi pertuduhan di sini.


"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terus mendoakan kebaikan serta kesejahteraan buat saya dan keluarga sehingga kini, dalam menghadapi tempoh sukar dan sulit ini.


"Kepada pihak di luar sana, hentikan membuat spekulasi, dan menyebarkan fitnah terhadap saya dan keluarga saya di media sosial untuk isu-isu yang anda sendiri tidak tahu kebenarannya," katanya.




Pada sidang media itu, Hafidz tiba-tiba sebak sebaik menyebut mengenai dua anaknya dan meluahkan rasa kasih serta rindu terhadap mereka selepas dua minggu tidak berjumpa.


"Kepada kedua-dua anak saya, Humairah dan Umar, Abah rindu dan sayang kalian berdua, dan tidak pernah sesaat pun Abah lupakan kalian.


"Buat keluarga saya, terima kasih kerana menjadi tulang belakang Hafidz selama ini, dan sentiasa bersama Hafidz apa jua keadaan dan situasi. Terima kasih banyak-banyak.


"Saya mengambil ujian kehidupan pada hari ini dengan tabah, dan akan terus melangkah ke hadapan, setapak, demi setapak, sehingga saya lebih berjaya berbanding sebelum ini," katanya.


Terdahulu, mahkamah memerintahkan Hafidz menjalani pemeriksaan dan rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak berkutkuasa 28 Mac ini.


Perintah dikeluarkan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret selepas permohonan perkara itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.


Hafidz sebelum itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk pipi kiri isterinya sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya di sini, pada 2 Mac lalu.


Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Siti Fatimah.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan mengikut Seksyen 323.


Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dibenarkan terhadap Hafidz dan urusan ikat jamin kemudian diselesaikan bapanya, Roshdi Ahmad.


Pada 4 Mac lalu, Hafidz ditahan polis bagi membantu siasatan atas dakwaan menumbuk Nurul Shuhada sehingga wanita terpaksa menerima 10 jahitan akibat kecederaan dialaminya.


Dia ditahan kira-kira jam 12 tengah ketika dia hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama.


Pada 2 Mac lalu, Hafidz didakwa menumbuk muka Nurul Shuhada, sebanyak tiga kali ketika berlaku pertengkaran di antara mereka.


Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.


Hafidz melafazkan cerai terhadap Nurul Shuhada melalui panggilan telefon di hadapan keluarga masing-masing pada 22 Februari lalu sebelum wanita itu memfailkan proses pengesahan lafaz cerai di mahkamah syariah 28 Februari lalu.


Sumber : Harian Metro

Post a Comment

0 Comments